SISSY sudah sebulan menjadi pengacara Muzik Muzik 36.
SISSY sudah sebulan menjadi pengacara Muzik Muzik 36.
Norhayati Nordin


SEJAK 2019, nama penyanyi dan pengacara, Sissy Imann Mohammad Kamil atau mesra disapa Sissy, 26, terus bersinar dan semakin mendapat perhatian.

Tanpa sebarang cerita sensasi berbaur peribadi, anak kedua daripada tiga beradik ini dilihat begitu fokus dalam memantapkan kerjaya seninya merangkumi pelbagai cabang diceburi.

Bukan sekadar menyanyi dan mengacara saja, Sissy juga berani menceburi cabang lain seperti lakonan, penciptaan lagu, pemuzik dan tidak terkecuali sebagai guru vokal.

Katanya, segala peluang yang datang akan diambil untuk mencuba.

Enggan bersikap terlalu memilih, Sissy berkata, dia hanya menolak jika dirasakan memang tidak mampu membuatnya.

Namun, selagi dia yakin dengan kemampuan diri, ia pasti diterima kerana bukan mudah mendapat peluang, selain ia adalah rezeki yang sudah ditetapkan Allah.

Kini menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Muzik Muzik 36 di TV3, setiap Ahad, jam 11.30 pagi bersama Alif Satar, penyanyi lagu Pesanan Ayahanda ini berkata, dia kagum dengan bakat dimiliki Alif.

"Saya melihat Alif dari sudut bakatnya yang sudah dibuktikan. Malah, dia juga mudah bekerjasama kerana mempunyai disiplin kerja yang tinggi dan kami selalu berbincang.

"Jika sebelum ini, saya pernah melihat dia mengacarakan Big Stage ketika menjadi peserta pada musim pertama dulu, tapi sekarang tak sangka kami kini rakan sekerja dalam Muzik Muzik 36 dan Alif banyak membantu," katanya.

Mengendalikan Muzik Muzik 36 secara atas talian, Sissy berkata, selama sebulan dia baharu mengendalikan program hiburan popular itu dengan Alif, mereka belum lagi berpeluang mengacara di studio.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami semua bekerja dari rumah. Memang teringin nak bekerja di studio, namun keadaan pandemik yang menular sekarang tidak mengizinkan.

"Apapun, saya cuba buat yang termampu walaupun perlu berhadapan kritikan daripada segelintir penonton yang gemar membanding-bandingkan. Pada saya, ia perkara biasa yang perlu ditelan.

"Saya tidak terasa hati pun dengan setiap kritikan itu walaupun ada juga yang agak pedas kerana lebih suka mengambilnya untuk memperbaiki kekurangan dalam persembahan saya," katanya.

Mengakui ada juga segelintir penonton mempersoalkan kenapa dia yang dipilih sebagai pengacara Muzik Muzik 36, Sissy berkata, jawapannya adalah rezeki. Siapa dia untuk menolak rezeki daripada Allah.

"Pada ketika pandemik sekarang, ramai orang berhadapan masalah kehidupan dan semua itu sudah ditetapkan Allah. Sebagai manusia biasa, segala takdir hidup kita ini pun sudah tertulis di atas perancangan-Nya.

"Untuk saya sendiri, hanya mampu bersyukur dan teruskan usaha selagi masih mendapat peluang. Atas sebab itu, saya biarkan apa orang nak kata kerana itu hak masing-masing. Saya terima dengan baik saja," katanya.

Sissy berkata, sejak tahun lalu hingga sekarang dia sering menerima tawaran kerja dalam pengacaraan. Dia juga tidak menduga rezekinya kini lebih kepada pengacaraan.

BEBAS nyanyian Sissy makin mesra radio dan diminati pendengar.
BEBAS nyanyian Sissy makin mesra radio dan diminati pendengar.

Bebas Sissy menjadi

Selepas beberapa lagu nyanyiannya sebelum ini kurang mendapat perhatian di stesen radio, Sissy akui single Bebas yang dilancarkan dua bulan lalu bagaikan membawa dimensi baharu untuknya di pentas seni suara.

Katanya, Bebas ciptaan trio komposer Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King itu kini cukup mesra radio dan mendapat perhatian pendengar termasuk dipilih menjadi lagu tema drama Perisik Cinta Tak Diundang untuk TV3.

"Alhamdulilah, semuanya rezeki dan saya tak sangka Bebas boleh pergi sejauh ini. Bukan saya tidak meletakkan harapan, namun enggan terlalu berharap lebih kerana kita tidak tahu penerimaan pendengar.

"Dalam usaha memantapkan karier, saya juga dapati tidak perlu untuk mengatur-aturkan sangat. Ini kerana, selalunya jika kita terlalu mengatur ia seperti tidak ke mana. Jadi, saya hanya ikut keadaan," katanya.

Berbicara juga mengenai peminat, Sissy berkata, dia gembira mendapat kelompok penyokong yang positif, tenang dan sangat menghormati pihak lain tanpa mengaibkan sesiapa.

"Walaupun saya dikritik dan dikecam, tetapi kebanyakan peminat saya sangat okey yang mana mereka tidak cuba merendah-rendahkan orang lain hanya untuk membela saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:00 AM