FINAS sedia Insentif Saringan Prihatin kepada kru, artis sepanjang PKPB.
FINAS sedia Insentif Saringan Prihatin kepada kru, artis sepanjang PKPB.
Georgie Joseph

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melaksanakan Insentif Saringan Prihatin kepada syarikat produksi melakukan ujian swab Covid-19 terhadap kru dan pelakon yang terbabit dalam aktiviti penggambaran mengikut terma tertentu.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, insentif itu diberikan dengan kadar maksimum sebanyak RM5,000 untuk setiap syarikat produksi yang melakukan penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai kelmarin hingga 27 Oktober ini.

"Tujuan utama inisiatif ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kru produksi dan artis sentiasa terjamin di lokasi penggambaran selain mengelak penularan wabak itu.

"Finas menggalakkan semua syarikat produksi untuk melakukan ujian berkenaan. Kami berharap bantuan ini meringankan beban syarikat produksi yang menjalankan penggambaran dalam tempoh PKPB," katanya.

Syarat kelayakan memohon insentif itu adalah syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB iaitu 14 Oktober hingga 27 Oktober ini sahaja.

Kos ujian itu perlu ditanggung terlebih dahulu oleh syarikat produksi sebelum mengemukakan dokumen tuntutan kepada Finas.

Tuntutan insentif itu juga hanya melalui syarikat produksi yang berdaftar di bawah Finas sahaja.

Katanya, ujian swab itu hanya boleh dilakukan melalui Pakej Khas Finas di klinik panel berdaftar iaitu di Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi, Selangor sahaja.

Selain itu, pihak Megaklinik Zahran juga boleh menjalankan ujian swab di lokasi penggambaran yang dipersetujui.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:46 AM