BANGUNAN Studio Dolby Digital Mix Stage di pintu masuk Kompleks Studio Merdeka, FINAS. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Studio Dolby Digital Mix Stage di pintu masuk Kompleks Studio Merdeka, FINAS. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengucapkan syabas dan terima kasih kepada penerbit drama JS Pictures yang pantas menghentikan penggambaran drama Penjara Janji selepas pelakon utamanya, Alif Satar disahkan positif Covid-19, semalam.

Perkara sama turut ditujukan kepada TV3 kerana mengambil langkah segera menangguhkan saringan ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM) semalam selepas Alif juga terbabit sebagai peserta saringan pertama SFMM 35 yang berlangsung Jumaat lalu. 

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, ia langkah yang sangat bertanggungjawab dalam usaha semua pihak memutuskan penularan Covid-19.

"Saya minta semua kontak rapat segera jalankan ujian swab dan lakukan kuarantin sendiri. Dari awal lagi, kami amat prihatin berkenaan keselamatan kru di lokasi yang kami zahirkan dengan insentif ujian swab percuma. Pasukan produksi mesti terus memastikan ujian swab dilakukan sebelum permulaan penggambaran," katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, prosedur operasi standard (prosedur operasi standard) penggambaran sudah kemas dan ketat tetapi pemantauan perlu ditingkatkan lagi. 

"Finas akan menggerakkan pasukan ke lokasi lebih kerap bagi memantau pematuhan dan akan ambil tindakan termasuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menghentikan penggambaran serta-merta sekiranya pematuhan dilakukan secara sambil lewa," katanya.

Terdahulu, Finas turut meminta syarikat produksi supaya tidak melakukan penggambaran di zon merah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 3:15 PM