LOQUE memilih Kimal (kanan) kerana keupayaannya melantunkan nada tinggi dalam lagu.  FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali
LOQUE memilih Kimal (kanan) kerana keupayaannya melantunkan nada tinggi dalam lagu. FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali
Syafil Syazwan Jefri

Pemuzik tak hanya berkarya untuk menghibur, tetapi juga punya ruang dan kesempatan untuk membawa generasi pendengar yang mengikuti karya mereka dengan konsep menghayati serta menghargai seni.

Walaupun rentak irama muzik berubah mengikut peredaran waktu, bagi figura muzik bernama Loque, budaya seni turun-temurun juga masih perlu ruang untuk diangkat.

Terbaharu, Loque yang cukup dikenali sebagai pemuzik tegar memperjuangkan budaya hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Selamatkan Legasi.

Tidak bersendirian, karya ini dinyanyikannya secara kolaborasi bersama dua bintang berbakat besar iaitu Kimal yang juga vokalis kumpulan Margasatwa dan NJWA.

"Lagu ini adalah karya yang sudah lama 'diperam' sejak 2012. Kini, ia sudah siap sedia disajikan buat pendengar dan diberikan nyawa baharu untuk lebih segar," kata Loque.

Berbicara mengenai karya yang dimuatkan dalam album Projek Gamelan itu, Loque memilih Kimal kerana keupayaannya melantunkan nada tinggi dalam lagu.

"Lagu asal yang dirakamkan lapan tahun lalu menggunakan suara saya. Namun, bila diamati, ada bahagian tinggi yang lebih sesuai dilantunkan penyanyi lain dan kerana itulah saya pilih Kimal.

BUAH tangan terbaharu Loque Selamatkan Legasi berkolaborasi bersama vokalis Margasatwa dan NJWA.  FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali
BUAH tangan terbaharu Loque Selamatkan Legasi berkolaborasi bersama vokalis Margasatwa dan NJWA. FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali

"Manakala untuk bahagian gamelan pula, saya 'lamar' NJWA untuk berkolaborasi memandangkan kami sudah pernah bersatu dalam lagu Chinta sebelum ini," katanya.

Bagi Kimal yang turut hadir di sesi fotografi baru-baru ini, kolaborasi disifatkan istimewa itu baginya umpama mimpi yang menjadi nyata.

"Saya sering mendengar karya seni Loque ketika masih di alam persekolahan dulu. Jadi, apabila diberi peluang untuk bekerja dengannya, sudah tentu saya terus terima.

"Walaupun lagu ini mungkin tak dapat mencipta populariti seperti mana lagu-lagu pop yang mengikut arus muzik perdana, ini adalah satu perjuangan besar kami.

"Kami berusaha memperjuangkan apa yang ada untuk diberikan kepada orang ramai dan pada masa sama membuka mata mereka untuk melihat budaya kita," katanya.

Tentunya, lagu Selamatkan Legasi akan menjadi satu lagi karya kontemporari yang mengangkat muzik daripada khazanah budaya kita, namun diadun dengan melodi rock.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 6:45 AM