Margasatwa
Margasatwa
Riadz Radzi


Kuala Lumpur: Selepas dikenali dalam kalangan peminat pergerakan muzik independent, Margasatwa kini makin dikenali di saluran muzik arus perdana sejak mereka tampil dengan album sulung berjudul Margasatwa pada Oktober 2019.

Terbaru, Margasatwa yang dianggotai Kimal (penyanyi), Fadhil (gitar), Sammy (gitar), Shadiq (bass) dan Syahir (dram) tampil dengan muzik video untuk lagu berjudul Yang Asli.

Ia mula ditayangkan di saluran YouTube Margasatwa bermula jam 3 petang esok (Khamis).

Selepas menjuarai Levi's Music Project pada Disember tahun lalu, Margasatwa memperoleh geran berjumlah RM20,000 untuk penggambaran muzik video lagu Yang Asli.

Kimal berkata, Yang Asli membawa mesej yang cukup mudah difahami iaitu 'mencintai diri sendiri terlebih dulu, tanpa mempedulikan kata-kata orang lain'.

"Setiap orang mempunyai keunikan dan kecantikan tersendiri. Kita tidak harus menilai diri berdasarkan pendapat orang semata-mata," katanya.

Margasatwa mengajak pendengar untuk percaya dan yakin dengan keunikan diri sendiri, menjadikan diri lebih fokus dan bahagia dalam hidup serta mengejar impian masing-masing yang ternyata unik.

Kimal berkata, muzik video Yang Asli menceritakan mengenai betapa skeptikal dan tipikal sesetengah orang dalam menilai seseorang hanya berdasarkan rupa.

Namun, individu itu kemudiannya bangkit dan membuktikan kebolehan dan keyakinan diri.

Selain dari penceritaan itu, Margasatwa turut mengetengahkan nilai fesyen yang unik. Salah satunya adalah material songket yang ditempah khas pada jaket Levi's pemain gitar, Fadhil serta penggayaan ala 1970-an atau 1980-an sebagai identiti pada muzik video kali ini.

Muzik video berkenaan diarahkan Adriana Tunku yang pernah mengarah muzik video beberapa artis popular antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan lagu Gila yang juga juara Anugerah Juara Lagu ke-35 nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loka B.

Versi audio lagu Yang Asli yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi Margasatwa sejak empat bulan lalu turut menerima komen positif daripada peminat mereka.

Antaranya Tarmizi Husni menyifatkan gabungan riff gitar ala Japanese Rock era 1980-an dan rhythm funk serta gabungan bass, dram dan perkusi menjadikan lagu ini 'meletup'.

"Vokal Kimal pula memang tak boleh dinafikan. Memang penutup 2020 terbaik daripada Margasatwa," katanya.

Mata Hati pula menyifatkan lagu Yang Asli sangat segar dengan susunan muzik yang bertenaga.

"Ia boleh menaikkan 'mood'. Pemuzik memainkan peranan masing-masing. Apabila bunyi itu bersatu, ia seolah-olah dapat dilihat. Margasatwa sebuah band yang hebat!" katanya.

"Rasanya tak pernah lagi orang buat jambatan antara J-Rock dan psychedelic rock dengan buah tangan alam Melayu," kata peminat bernama Luk Ahmad pula.

Margasatwa yang dilihat mengetengahkan sentuhan muzik era 1970-an hingga 1990-an turut menyulam elemen budaya Melayu pada susunan muzik dan nyanyian mereka.

Pemain dram, Syahir berkata, mereka memainkan semua jenis muzik yang mereka cintai dengan cara tersendiri.

"Tidak ada mana-mana kumpulan pendengar yang kami sisihkan, baik arus perdana atau indie. Muzik Margasatwa untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Margasatwa yang ditubuhkan pada 2016 menandatangani kontrak rakaman bersama syarikat rakaman indie tertua Malaysia iaitu Luncai Emas Sdn Bhd pada akhir 2017.

Luncai Emas milik artis legenda, Datuk M Nasir cukup sinonim dalam melahirkan kumpulan dan penyanyi unik dan tersendiri seperti Kopratasa, Spider, Pitahati, Iqbal M, Ramayan dan M Nasir sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:12 PM