MONOLOQUE beri suntikan elemen muzik baharu untuk lagu nyanyian Sheila Majid.
MONOLOQUE beri suntikan elemen muzik baharu untuk lagu nyanyian Sheila Majid.
Sudirman Mohd Tahir

Legenda, seperti tajuknya adalah lagu malar segar nyanyian Datuk Sheila Majid yang dicipta Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan lirik Datuk Habsah Hassan.

Lagu yang dimuatkan dalam album Legenda pada 1990 ini pada asalnya adalah lagu penghargaan untuk legenda seni tanah air yang tiada galang gantinya, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Bagi meneruskan legasi Legenda, lagu itu dipilih untuk diberi nafas baharu dengan irama gamelan Melayu di dalam album Gamelan Melayu berkembar berjudul Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21).

Paduan bunyian kumpulan monoloQue bersama Orkes Gamelan Pahang DiRaja diadun bersama vokal Kimal dari kumpulan Margasatwa, lagu itu secara tidak langsung mencipta warna dan keunikannya yang tersendiri.

Walaupun Legenda digubah 180 darjah oleh penyanyi monoloQue iaitu LoQue dengan unsur muzik baharu, namun pengisian jiwa lagu itu dari segi irama asal masih dikekalkan.

LoQue berkata, versi baharu Legenda itu bukannya untuk bersaing dengan versi asal, tapi ingin menyuntik elemen muzik lain sekali gus memberi nafas baharu kepada lagu itu.

"Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Sheila. Lagu Legenda versi asal semestinya tiada tandingannya. Saya cuma menyuntik unsur terkini dan mengubah mengikut cita rasa kami seolah-olah lagu ini adalah lagu kami sendiri.

"Diharap versi kami ini akan menjadi petunjuk arah kepada versi asal di samping menjadi rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian gamelan Melayu," katanya yang turut menyifatkan lagu itu adalah belasungkawa tahap tertinggi kepada legenda seni lain, baik yang dikenang dan yang tidak didendang sepanjang zaman.

LOQUE (baju putih) bersama pemain Gamela dalam Album - Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Di Abad Ke 21).
LOQUE (baju putih) bersama pemain Gamela dalam Album - Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Di Abad Ke 21).

Bagi LoQue, diberi peluang untuk memperbaharui lagu Legenda adalah satu penghormatan.

"Sewaktu menghasilkan lagu ini, saya menterjemah penghargaan terhadap perwira, baik kecil, besar, baik yang dikenali, baik yang dilupakan dalam bentuk irama.

"Hari ini, dalam keadaan dunia yang dilanda pandemik, ramai wira tidak didendang yang harus dihargai. Bermula daripada petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, polis, tentera dan tidak lupa juga penghantar makanan, posmen, pekerja pembersihan dan pekerja restoran. Semuanya adalah perwira yang berjasa besar kepada rakyat dan negara.

Di kala 'perang halimunan' ini, semuanya adalah legenda.

"Lagu ini juga khas buat datuk saya, Maaruf Mahmud. Dia adalah penulis buku kanak-kanak dan panelis Dewan Bahasa dan Pustaka pada era 1980-an. Antara jasa besarnya adalah menjadi antara individu menghantar petisyen kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman bagi menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di negara ini," katanya.

Berkongsi mengenai penerbitan lagu Legenda yang dimuatkan di dalam album berkembar Gamelan Melayu itu, LoQue berkata, ia adalah buah fikiran Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang juga Penerbit Eksekutif album berkembar, Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21), Datuk Farid Abdul Jalal.

"Selain kerana meminati lagu ini, beliau memilih Legenda untuk menjadi sebahagian daripada projek ini kerana lagu ini mempunyai maksud yang jelas dan luas. Jika versi asal Legenda adalah penghargaan buat Allahyarham Tan Sri P Ramlee, beliau berpendapat bahawa Legenda versi baharu ini boleh diperluaskan lagi sebagai penghargaan kepada mereka yang sudah berkorban kepada negara dan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat, termasuklah Raja Permaisuri Agong Tunku yang memainkan peranan besar dalam evolusi tumbesaran gamelan Melayu," katanya.

Legenda yang dimuatkan dalam album berkembar terbaru monoloQue ini mempunyai dua versi, iaitu versi piring hitam (vinyl) dan cakera padat (Deluxe). Legenda versi piring hitam yang dihasilkan pada 2018 adalah persembahan monoloQue yang dinyanyikan secara solo oleh LoQue. Manakala Legenda versi cakera padat (deluxe) adalah kerjasama kreatif LoQue dan Kimal Margasatwa. Versi cakera padat (deluxe) siap dihasilkan pada tahun lalu.

DARI kiri, Bakri, Kadax, LoQue, Kimal dan Apex.
DARI kiri, Bakri, Kadax, LoQue, Kimal dan Apex.

Cabaran versi baharu Legenda

Pemain dram, Bakri 'Halia' Ismail pada mulanya agak ragu apabila LoQue meluahkan hasrat untuk menggubah semula lagu Legenda.

"Antara sebab utama adalah versi asal lagu ini mempunyai irama yang lembut dan tidak mempunyai alunan dram. LoQue kemudiannya menghantar lagu contoh atau 'demo' kepada saya sebagai rujukan. Waktu itu, saya masih tidak nampak corak yang cuba dibentuk oleh LoQue untuk lagu ini. Sehinggalah LoQue memasukkan alunan vokal, barulah roh lagu ini sampai dan dapat menyusun rentak paluan dram yang tersendiri," katanya.

Bagi pemain gitar utama monoloQue, Ijoo 'Gagak Hitam' dia berasakan gubahan baharu Legenda rumit.

"Saya sama seperti Bakri pada awalnya. Saya berasakan gubahan Legenda versi baharu terlalu abstrak dan rumit, di mana ia saya tidak tahu alunan gitar sebagaimana yang sesuai. Maka dengan itu, saya membuat keputusan untuk tidak terbabit dalam pembikinan lagu ini," katanya.

Sementara itu, pemain keyboard monoloQue, Apex berpendapat bahawa menggubah semula lagu Legenda memberikan satu cabaran.

"Lagu ini dinyanyikan oleh seorang legenda hidup, dicipta juga oleh seorang legenda dan dimainkan juga oleh legenda. Oleh itu, untuk mencipta semula aura gah seorang lagenda adalah sesuatu yang luar jangka," katanya.

Menurut Kimal pula, cabaran sewaktu mencipta Legenda versi baharu adalah untuk menarik minat masyarakat yang sudah sebati dengan lagu Legenda versi Sheila.

"Sebuah lagu malar segar yang berada di aras tinggi dalam industri muzik bukanlah mudah untuk diperbaharui. Untuk membuat pendengar menerima, apatah lagi. Namun begitu, cabaran ini tidak menghalang saya untuk memberikan lenggok vokal yang mempesona dan eksotis.

"Di dalam versi piring hitam, LoQue menggunakan irama melodi vokal asal. Namun, untuk versi kami berdua, saya menyuntik lebih kepekatan lenggok kemelayuan lalu menjadikan lagu ini berbeza dari versi sebelumnya. Kedengaran asing tetapi dekat di hati," katanya.

Kimal atau nama sebenarnya Akmal Hanif Mokhtar adalah penyanyi kumpulan rock indie Margasatwa yang berasal dari Paka, Terengganu.

Dia adalah pemenang Luncai Emas Talent Search pada 2015 sebelum menyertai kumpulan Margasatwa pada 2016. Kimal juga terkenal dengan gaya ranggi retro dan suara lantang dengan lenggok kemelayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:20 AM