KETIKA penggambaran Cerita Rasa Anis Nabilah 2, baru-baru ini.
KETIKA penggambaran Cerita Rasa Anis Nabilah 2, baru-baru ini.
Syafil Syazwan Jefri

Menjadi cef selebriti tidak hanya mengehadkan aktiviti Anis Nabilah sekadar di dapur dan menyajikan hidangan enak.

Dia juga bahkan gemar meneroka tempat baru di samping mencari idea baru menambah koleksi masakannya.

Bagi Anis, 32, ketika melancong di dalam dan luar negara, dia mendapat pelbagai rujukan baru, sekali gus berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan penonton.

“Jika anda lihat di Instagram saya, saya banyak kongsikan tempat menarik yang saya teroka. Selain bercuti, saya juga mendapat pelbagai ilmu baru dalam dunia masakan,” katanya.

Salah satu ilmu yang dikongsikan dengan peminatnya adalah bagaimana mencari makanan halal memandangkan ia sesuatu yang sensitif.

“Sebagai Muslim, kita tentunya mahukan makanan yang halal walaupun berada di luar negara. Secara tak langsung, saya dapat kongsikan dengan mereka di mana untuk mendapatkan makanan halal di negara yang saya lawati,” katanya.

Tidak hanya sekadar meneroka, Anis juga pada masa sama mengambil peluang melebarkan lagi sayapnya sehingga ke pentas dunia.

“Pada 2010, saya diberi peluang untuk melangkah setapak lagi ke pasaran antarabangsa menerusi penampilan dalam satu saluran masakan antarabangsa.

“Alhamdulillah, tahun ini satu lagi rezeki saya terima dan insya-Allah, saya akan mula menjalani penggambaran untuk program masakan yang akan ditayangkan di saluran Fox International,” katanya.

BERSAMA pelakon, Farah Nabilah yang menjadi tetamu jemputan dalam salah-satu episod program itu.
BERSAMA pelakon, Farah Nabilah yang menjadi tetamu jemputan dalam salah-satu episod program itu.

Selain Fox, nama Anis juga pernah mengisi beberapa saluran antarabangsa lain antaranya Asian Food Channel, Food Network dan TLC.

Selain itu, Anis juga baru saja selesai menjalani penggambaran untuk program masakannya yang masuk musim kedua, Cerita Rasa Anis Nabilah.

Berbanding musim pertama yang lebih mengetengahkan resipi dari luar negara, kali ini, Anis turut menyelitkan beberapa resipi unik dari negeri di negara ini.

“Satu lagi kelainan yang kami tampilkan adalah dengan menjemput beberapa selebriti terkenal dan memasak bersama,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya, banyak juga yang mencuit hati sepanjang penggambaran itu berlangsung.

“Ada antara selebriti yang hadir tak pernah masuk ke dapur. Ada juga yang belum pernah makan masakan yang saya sajikan. Jadi, dalam pada kita belajar benda baru, ada juga pelbagai perkara yang mencuit hati,” katanya.

Penerbit program, Mohd Najib Jaafar berkata, kehadiran musim kedua itu kerana sambutan menggalakkan daripada penonton untuk musim pertama.

“Musim pertama mendapat kejayaan dan sambutan menggalakkan. Kerana itu, pihak RTM meminta kami meneruskan ke musim kedua dan tampilkan kelainan untuk menarik lebih ramai penonton,” katanya.

Program Cerita Rasa Anis Nabilah 2 yang diterbitkan Monaj Excel Sdn Bhd itu akan menemui penonton dalam tahun ini di saluran RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 1:58 AM