BERNAMA

Kuala Lumpur: “Tunjuk kemaluan pandai, jawab soalan tak pandai.”

Itu teguran Majistret Mahkamah Majistret di sini, Nur A'minahtul Mardiah, terhadap Abdul Rahim Mohd Abas yang menghadapi tuduhan menghantar gambar kemaluan dan ayat berunsur lucah kepada isteri orang apabila lelaki itu kelihatan teragak-agak ketika ditanya mengenai latar belakangnya ketika rayuan bagi meringankan hukuman.

Nur A'minahtul Mardiah menjatuhkan hukuman sebulan dan denda RM1,500 kepada penganggur berusia 34 tahun itu, hari ini, selepas dia mengaku bersalah menghantar gambar dan ayat berunsur lucah kepada wanita berusia 31 tahun itu melalui telefon bimbit miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Putri Apartment, Taman Setiawangsa, Off Jalan Jelatek, Wangsa Maju di sini, pada 7 Januari lalu, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 9 Januari lalu, dan akan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima gambar kemaluan seorang lelaki melalui telefon bimbit daripada nombor tidak dikenali dan memaklumkan kepada suaminya.

Suami mangsa kemudian meminta tertuduh berjumpa di LRT Setiawangsa sebelum menangkap dan menghantarnya ke balai polis.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal dengan alasan perbuatan tertuduh menjejaskan ketenteraman awam dan menyebabkan trauma kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 10:08 PM