Iman Troye
Iman Troye
Affan Rostam


Petaling Jaya: Penyanyi muda popular, Iman Troye, 20, bakal muncul sebagai artis jemputan pada program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim kelima yang disiarkan di TV3 jam 9 malam esok.

Kehadiran Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin pasti menggamatkan lagi suasana ICSYVMY 5 memandangkan dia perlu memilih penyanyi sebenar di kalangan enam peserta pada minggu ini.

Sudah pasti dengan pengalamannya sebagai salah seorang peserta ketika ICSYVMY 2, ia pasti dapat membantunya mengenal penyamar dan juga penyanyi sebenar.

Pada minggu ini juga tiga artis terkenal tanah air iaitu Ezlynn, Ara Johari dan Tam Suhaimi dijemput sebagai panel penyiasat di mana keletah keempat-empat artis ini sudah tentu menggamatkan lagi suasana ICSYVMY 5 ini, apatah lagi apabila mereka bakal berkumpul bersama panel penyiasat tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Janna Nickdan Andi Bernadee.

Menerusi episod kali ini, penonton juga berpeluang mendengar perkongsian Iman mengenai pengalamannya semasa menyertai ICSYVMY 2 pada tahun 2019 dan juga detik-detik disingkirkan daripada program realiti ini.

Program ini dihoskan oleh Izzue Islam dan Ain Edruce akan bersiaran pada setiap Ahad jam 9 malam di TV3 dan penonton juga boleh strim langsung secara HD di http://www.tonton.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 2:46 PM