HIDAYAH bersama suami ketika keluar makan malam bersama To’ki dan ibu tirinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof. FOTO IHSAN HIDAYAH
HIDAYAH bersama suami ketika keluar makan malam bersama To’ki dan ibu tirinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof. FOTO IHSAN HIDAYAH
Najiy Jefri

"MAK pesan sebagai anak, saya kena cari ayah walaupun dia tidak cari kami adik-beradik," kata anak kepada penyanyi, To'ki, Noor Hidayah yang sudah menemui penyanyi itu pada Jumaat lalu dan diikuti bersama tiga beradik lain, kelmarin.

Hidayah berkata, dia bersama adik-beradik mengambil keputusan bertemu bapanya itu selepas dinasihati ibu mereka, Roziah Atan, 53 selain membaca pesanan daripada warganet di laman sosial yang mengikuti perkembangan kisah mereka.

Menurut Hidayah, pertemuan itu dianggap hikmah terbesar dalam hidupnya selepas hampir empat tahun tidak bersua muka dengan penyanyi Seni Berzaman itu.

"Baik atau buruk ayah dia tetap bapa kandung kami. Itu yang mak pesan. Disebabkan itu juga, saya dan adik-beradik lain nekad mencari dan pergi berjumpa ayah.

"Suami juga hampir setiap malam mengingatkan saya untuk bertemu ayah dengan sering memberikan kata-kata positif. Setiap hari dia pujuk cakap benda-benda yang baik dan tunjuk video Facebook ayah yang sentiasa berkongsi mengenai kami adik-beradik.

"Pada pertemuan itu, memang sedih dan masing-masing menangis. Macam drama air mata juga. Alhamdulillah, semuanya okey selepas itu," katanya.

Menurut Hidayah, dia bersama tiga beradik lain turut mengunjungi rumah baru bapanya sebelum mereka keluar makan malam bersama.

"Sebelum berjumpa, kami ada berbual di telefon. Apabila saya dan suami mahu keluar makan, kami mengajak ayah sekali pada Jumaat lalu.

"Esoknya, saya datang berjumpa ayah bersama adik-adik pula. Saya juga berkesempatan melihat rumah ayah dan kemudiannya, kami keluar makan bersama.

"Di restoran, kami berpeluang lihat ayah menyanyi secara 'live'. Jujurnya, saya gembira, terubat rindu nak tengok ayah menyanyi. Bukan kami sahaja, malah ayah juga kelihatan gembira dapat bersatu semula dengan anak, cucu dan menantu," katanya.

To'ki turut memuat naik gambar perjumpaan bersama anak, cucu dan menantunya di laman Facebook. Bagaimanapun, anak sulungnya, tidak dapat bersama kerana mempunyai urusan lain pada saat terakhir.

Perjumpaan itu turut disertai anak perempuan To'ki menerusi hasil perkahwinan kedua iaitu Nur Nilam Qaseh, 13.

Terdahulu, Yaya mendakwa kali terakhir bertemu bapanya kira-kira empat tahun lalu ketika melangsungkan perkahwinan. Yaya mengeluarkan dakwaan selepas kisah kehidupan To'ki, 53, dan isterinya, Sharifah Fairuz, 48, yang tinggal dalam pondok di pinggir hutan di Batu 12, Gombak, tular, beberapa minggu lalu.

To'ki memiliki lima cahaya mata hasil daripada perkahwinan pertama. Anak sulungnya, Mohd Hafizi, 28, diikuti Noor Hidayah, 27, Noor Husna, 22, Noor Aishah, 21 dan Mohd Hairi Hanis, 18. Menerusi perkahwinan kedua bersama Nik Aida Mustapha dikurniakan Nur Nilam Qaseh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:44 PM