Penyanyi, Mohd Zaki Mansur atau lebih dikenali sebagai To'Ki ketika sesi temubual bersama Berita Harian di pondok yang didiami bersama isteri di Batu 12, Gombak. Gambar kiri, Noor Hidayah. FOTO Asyraf Hamzah, Ihsan Noor Hidayah
Penyanyi, Mohd Zaki Mansur atau lebih dikenali sebagai To'Ki ketika sesi temubual bersama Berita Harian di pondok yang didiami bersama isteri di Batu 12, Gombak. Gambar kiri, Noor Hidayah. FOTO Asyraf Hamzah, Ihsan Noor Hidayah
Najiy Jefri

 

"BUKAN tak mahu jumpa, tapi semua ini perlukan masa. Apa yang berlaku dalam keluarga saya, tidak seindah seperti keluarga orang lain," kata anak kepada penyanyi To'ki, Noor Hidayah Mohd Zaki, 27, yang didesak netizen supaya bertemu dan membantu penyanyi itu. 

Hidayah ketika dihubungi berkata, dia berharap netizen berhenti menuduh atau mengecam dia serta adik-beradik yang lain berikutan sehingga kini mereka belum sedia bertemu To'ki. 

"Kami tak pernah bergaduh atau bertengkar dengan ayah, cuma kami sudah lama tidak berjumpa dan berhubung. 

"Selepas ditinggalkan ayah, dia sudah membawa haluannya sendiri. Namun, saya dan adik-beradik lain tidak pernah marah atau berdendam dengan keputusan ayah itu. 

"Meskipun kehidupan bersama ibu membesarkan adik-beradik lain bukan mudah, hingga kami pernah dihalau keluar rumah oleh penyewa tapi saya bersyukur ibu menjaga kami dengan begitu sempurna. 

"Saya tak faham kenapa netizen terlalu marah dengan kami, sedangkan mereka semua tidak tahu apa yang terjadi. Cuba letak keadaan berlaku ini kepada diri kalian, pasti anda akan faham," katanya. 

Menurut Hidayah, dia sudah hampir 16 tahun tidak tinggal bersama ayahnya, malah tak pernah merasai kasih sayang seorang bapa sejak tempoh lebih sedekad itu. 

"Hari-hari dapat mesej orang kecam dan memarahi saya serta keluarga. Saya hanya memberi pencerahan terhadap situasi yang berlaku dalam keluarga kami. 

"Apa yang terjadi sekalipun, dia tetap ayah kandung saya. Meskipun, selama 16 tahun saya tak tinggal dengan ayah selain kami juga tidak pernah berhubung. Cuma, ada bertemu pun ketika saya nak berkahwin.

"Sepanjang tempoh itu, saya tegaskan tak pernah rasa kasih sayang seorang bapa atau bergurau manja dengannya. Jadi, takkan semuanya boleh berubah dengan sekelip mata hanya kerana desakan pihak luar," katanya. 

Tambah Hidayah, dia enggan mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya berharap orang luar memahami situasi yang berlaku. 

"Insha-Allah dalam masa terdekat, kalau saya dan adik beradik lain tergerak hati untuk berjumpa, kami pasti akan melawatnya. 

"Cuma, sekarang ini kami perlukan masa dengan apa yang sudah dia lakukan,"katanya. 

Ujarnya lagi, kenyataan To'ki yang mendakwa dia ada menghubungi dan bertemu anaknya, Hidayah tidak menafikan. 

"Mungkin betul ayah ada berhubung dengan anak isteri keduanya, Qaseh. Mungkin mereka mempunyai hubungan baik," katanya.

Terdahulu, konflik keluarga antara To'ki dan anak-anaknya menjadi kecoh apabila Hidayah mendakwa kali terakhir bertemu penyanyi itu ketika beliau menjadi wali nikahnya, sekitar empat tahun lalu.

Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu, sejak To'ki dan ibunya berpisah kira-kira 16 tahun lalu, itulah kali pertama dia menatap wajah bapa.

Hasil perkahwinan pertama, To'ki memiliki lima anak iaitu Mohd Hafizi, 28; Noor Hidayah, 27; Noor Husna, 22; Noor Aishah, 21 dan Mohd Hairi Hanis, 18.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:59 PM