A.C.A.B
A.C.A.B
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kumpulan oi!, ska dan rock indie, A.C.A.B tidak menoleh ke belakang lagi sebaik aktiviti konsert dan persembahan gig dibenarkan kerajaan selepas peralihan ke endemik penularan Covid-19.

Penyanyi dan pemain gitar utamanya, Megat Hafiz atau Major Max berkata, mereka akan beraksi dalam gig Live In JB - Malaysia Day Showcase pada 16 September ini di The Colosseum, City Plaza, Johor Bahru jam 9 malam.

"Memandangkan saya sekarang menetap di Johor Bahru, kesempatan ini digunakan untuk mengadakan persembahan bagi menghiburkan peminat di sana.

"Turut bersama saya ialah Eddy J (gitar), Anas (bass) dan Zul (dram). Tempat sangat terhad dan peminat perlu mendapatkan tiket secepat mungkin," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru, Major Max berkata, dia baru selesai rakaman dengan band Klan di Johor Bahru.

"Album ini sekarang dalam proses 'mixing' untuk dipasarkan tak lama lagi. Selepas persembahan pada 16 September, A.C.A.B pula akan masuk studio untuk rakaman single baru sebelum keluarkan kompilasi rakaman baru The Best Of A C.A B. Kami pilih empat lagu daripada album demo berjudul A.C.A.B. yang dikeluarkan pada 1995," katanya.

Empat lagu terbabit ialah Somebody's Song, City Girl, Bookies, One Three One Two dan sebuah single baharu What It's Like To Be Free.

Ia dirakamkan semula dengan pembaharuan dari segi lirik yang tidak terlalu kasar, rakaman dan bunyi yang lebih baik.

A.C.A.B dikenali sebagai kjumpulan skinhead, oi! Malaysia yang terawal dan ditubuhkan pada penghujung 1994. A.C.A.B mencipta jenama, gaya dan genre tersendiri yang dikenali sebagai Eastern Oi, manakala lagu mereka berjudul Skinhead 4life tersebar ke seluruh dunia sehingga dimainkan beberapa kumpulan dari pelbagai negara Eropah dan Amerika Latin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 2:51 PM