SAIFUDDIN. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN. FOTO BERNAMA
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Seramai 960 penggiat muzik tanah air menerima manfaat Dana Kandungan Digital Muzik (DKD Muzik) untuk program Hiburan Dari Rumah tahun ini berjumlah RM6 juta daripada kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dana ini diperuntukkan bagi menghasilkan kandungan kreatif dalam program Hiburan Dari Rumah yang akan membabitkan penyertaan daripada penyanyi lama dan baharu.

"Ini termasuk penyanyi dan pemuzik kelab hiburan, penyanyi dan pemuzik busker, ahli kumpulan nasyid dan lain-lain dari seluruh negara, merangkumi pelbagai peringkat usia dan genre muzik.

"Penerbitan kandungan kreatif Hiburan Dari Rumah yang dihasilkan perlu mempunyai unsur muzik dan berkonsepkan muzik dari rumah, bersesuaian dengan situasi pandemik ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, DKD Muzik ini adalah antara dana yang diperuntukkan di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) yang dilancarkan pada 5 Februari lalu.

"Ia sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan kelangsungan penggiat industri kreatif negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Bagi memastikan pelaksanaan dana yang telus, kementerian turut membabitkan penggiat industri muzik dan ahli akademik sebagai panel dalam Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Pelulus dan Pemilihan Artis.

"Dengan inisiatif seperti ini, kami mensasarkan lebih banyak karya kandungan kreatif yang berpotensi dan berkualiti dapat dihasilkan di samping mencipta lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Saifuddin berkata, bukan saja dalam kalangan penyanyi dan pemuzik, malah ia turut menyediakan peluang pekerjaan di belakang tabir.

"Penggiat industri kreatif juga diberi ruang untuk memanfaatkan lonjakan digitalisasi bagi membangunkan sektor industri kreatif negara yang lebih mampan. Selain daripada inisiatif yang sedia ada seperti DKD Muzik, kerajaan peka terhadap nasib yang dihadapi penggiat seni terutama apabila Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan mulai 1 hingga 14 Jun ini.

"Usaha akan terus dilipatgandakan untuk membantu meringankan beban golongan ini. Langkah proaktif dan usahasama antara kerajaan dan penggiat industri juga diharap dapat menjana ruang serta pasaran kandungan kreatif yang berdaya saing dalam usaha mengembangkan potensi dan bakat tempatan serta membawa industri ini ke taraf global," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 1:27 PM