HUN Haqeem bersyukur kecederaan pada kakinya akibat kemalangan motosikal sudah pulih. FOTO IG Hun Haqeem
HUN Haqeem bersyukur kecederaan pada kakinya akibat kemalangan motosikal sudah pulih. FOTO IG Hun Haqeem
Georgie Joseph

PELAKON Hun Haqeem, bersyukur kecederaan pada kakinya akibat kemalangan motosikal pada Mac lalu sudah pulih sepenuhnya.

Hun atau nama penuhnya Haqeem Hermy, 22, berkata, dia sepatutnya menjalani pemeriksaan susulan namun tergendala selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Alhamdulillah, kaki sudah pulih sepenuhnya. Sepatutnya seperti biasa selepas pembedahan, kena lakukan pemeriksaan susulan. Tak jangka pula tarikh itu jatuh pada hari kedua PKP.

"Tapi, alhamdulillah rasanya sudah tak perlu buat. Namun, atas keselamatan saya akan pergi juga lakukan pemeriksaan sama ada betul-betul sudah pulih sebaik situasi Covid-19 ini bertambah baik nanti," katanya.

Pelakon yang popular dengan jolokan Jekfer dalam drama Kampung People itu lega apabila kecederaan dialami sembuh sebelum sambutan Ramadan.

"Perasaan syukur itu memang sangat sukar digambarkan. Saya sangat lega berjaya pulih sepenuhnya sebelum Ramadan. Dapatlah saya menjalani ibadah puasa seperti solat tarawih dengan selesa.

"Begitu juga kalau hendak keluar untuk membeli barangan dapur serta keperluan yang lain. Apapun, kalau tiada alasan kukuh, lebih baik duduk rumah demi menjaga keselamatan diri," katanya.

Pada 1 Mac lalu, Hun dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dia dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian tumit kaki kanan dan disyaki kena ligamen.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 6:27 PM