HUN cedera agak serius dan jalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
HUN cedera agak serius dan jalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Ridzuan Abdul Rahman


"HUN mengalami kecederaan agak serius dibahagian tumit kaki kanan dan disyaki kena ligamen.

"Dia perlu menjalani pembedahan secepat mungkin hari ini. Paling cepat masuk bilik pembedahan petang atau malam ini kerana Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sentiasa ada banyak kes," kata pengarah Eoon Shuhaini, mengulas situasi terkini pelakon Hun Haqeem.

Hun Haqeem, 22, atau nama sebenarnya Haqeem Hermy dimasukkan ke PPUKM kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya tengah malam tadi.

Menurut Eoon, ibu pelakon terbabit menghubungi pengurus produksinya, Ef Hairee, memaklumkan berita ini.

"Mulanya Ef Hairee dihubungi oleh rakan Hun sekitar jam 12 tegah malam bagi memberitahu Hun kemalangan.

"Sejam selepas itu, ibunya pula menelefon memaklumkan berita ini kerana Hun sepatutnya ada penggambaran hari ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Eoon, pelakon yang terkenal dengan watak Jekfer dalam drama bersiri Kampung People ini baru habis penggambaran sebahagian episod drama bersiri arahannya, Seindah Tujuh Warna Pelangi sekitar jam 8 malam tadi.

"Saya difahamkan dia kemudian main futsal dan kemalangan itu berlaku ketika Hun dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Dia menunggang motosikal namun saya tidak pasti kemalangan membabitkan kenderaan lain atau sebaliknya," katanya yang turut memuat naik kejadian ini di Facebooknya.

Eoon kini sedang memantau perkembangan Hun dan sekiranya pelakon terbabit belum pulih, pihaknya akan meminda jalan cerita drama Seindah Tujuh Warna Pelangi.

"Dijangkakan dia perlu berehat dalam empat hingga enam minggu.

"Kami perlu cari inisiatif lain kerana drama 28 episod ini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3 sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 4:16 PM