Sudirman Mohd Tahir


WATAK Jekfer atau Jaafar dalam drama Kampung People yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini berjaya melonjakkan nama pelakon kacak, Hun Haqeem.

Berbekalkan drama itu, siapa sangka populariti diraih Hun, 22, atau nama sebenarnya Haqeem Hermy naik mendadak hingga jumlah pengikut di laman Instagram juga meningkat mencecah 150,000 sepanjang drama itu bersiaran.

Enggan mendabik dada, Hun yang juga pelakon Cari Aku Di Syurga beranggapan itu adalah rezeki dan aturan yang sudah ditetapkan Allah SWT.

Menurut Hun, populariti sekelip mata itu bukan satu kejutan budaya buat dirinya kerana terlebih dahulu sudah mempersiapkan diri ketika mula melangkah masuk dalam industri hiburan.

“Alhamdulillah, selepas Kampung People, ia memberi impak sangat positif. Tak sangka ‘followers’ (pengikut) di Instagram meningkat sehingga 150,000 dalam tempoh tayangan Kampung People hinggakan Instagram saya ‘tersangkut’.

“Terlalu banyak notifikasi yang masuk dan saya tidak boleh mengaktifkan Instagram sekejap.”

“Kejayaan drama itu dan populariti diraih bukan satu kejutan budaya. Apabila masuk dalam bidang ini, saya rasa ini yang dicari dan tahu hala tuju. Jika ketika itu tidak bersedia, saya tak masuk. Jadi, saya kena persiapkan diri.

“Sejujurnya, saya terbabit dalam bidang ini dengan tidak meletakkan sebarang harapan atau rasa akan tular dan drama akan meletup. Tapi, niat saya ikhlas nak bekerja dan tolong keluarga selain tanggungjawab diri sendiri. Saya percaya, dari keikhlasan itu datang keberkatan. Apabila ada keberkatan, semuanya akan okey. Saya anggap Kampung People adalah rezeki saya,” katanya.

Apa yang menarik, biarpun drama itu sudah berakhir beberapa minggu lalu, penangan drama yang turut dibintangi Elly Mazlein itu masih menjadi bualan ramai.

Hun mengakui, ke mana saja dia pergi peminat masih memanggil dirinya dengan nama Jekfer.

“Sehingga sekarang orang masih panggil Jekfer. Ia menggembirakan saya apabila orang panggil dengan nama itu.

“Bagi saya, Kampung People ini kita tidak boleh kelaskan untuk golongan tertentu. Ia umum. Satu keluarga tengok. Nilai moral dalam cerita ini mengenai kekeluargaan sangat bagus,” katanya.

HUN Haqeem
HUN Haqeem

Cepat naik, cepat turun

Biarpun sudah membintangi beberapa drama sebelum ini, ternyata Hun lebih menyerlah dalam Kampung People.

Disebabkan itu, ramai yang mulai mengingatkan dirinya supaya jangan terlalu cepat naik kerana dibimbangi akan cepat turun.

“Ini memang soalan yang selalu ditanya. Naik cepat turun pun cepat. Berbalik apa yang dikatakan, prinsip saya dalam industri hiburan adalah belajar untuk ada keyakinan.

“Kalau itu rezeki kita, jadi adalah. Itu memang kerja pelakon. Kalau dah tak ada tawaran kerja, sabar saja. Kalau ada, adalah. Itu semua rezeki. Macam saya, kekalkan saja keikhlasan. Saya beranggapan, kalau tak ada kerja, fikir positif.

“Ketika itu mungkin Allah suruh kita rehat untuk bersama keluarga dan beri tumpuan pada diri sendiri. Mungkin ada tanggungjawab yang terabai sebab kerja. Andai kata suatu hari saya diam, itu juga ketentuan Allah. Jadi, siapa saya untuk menafikan atau takut dengan keadaan itu. Sedangkan ia memang perancangan untuk kita,” katanya.

Dalam masa sama, Hun berkongsi dia lebih suka duduk di rumah dan menghabiskan waktu bersama keluarga.

“Saya utamakan keluarga sebab kami memang rapat. Lagipun sejak remaja dan sekolah, saya suka duduk rumah. Tak suka keluar sangat. Memang suka tengok TV dan habiskan masa di rumah.

“Macam kalau terbabit dalam penggambaran, ‘wrap’ jam 2 atau 3 pagi, saya tetap pulang ke rumah sebab kadang-kadang nak luangkan masa di rumah lebih menarik dan selesa.

“Dapat tengok mak, kakak dan anak buah, ia sangat puas. Perasaan itu sangat seronok. Selagi ada, saya nak hargai mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kekasih, Hun mengakui belum mempunyai seseorang yang istimewa.

“’Special’ belum ada lagi,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Hun kini terbabit dalam penggambaran drama Seindah Tujuh Warna Pelangi untuk slot Akasia di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:00 AM