HUN HAQEEM
HUN HAQEEM
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Hun Haqeem, 23, tidak melihat dirinya akan mengikut jejak pelakon lain yang bertemu suri hati di lokasi penggambaran drama penerbit dan pengarah sensasi, Michael Ang.

Hun berkata, peluang dapat bekerja dalam produksi Michael yang baginya seorang individu bersikap terbuka adalah satu kelebihan besar untuk menimba ilmu serta pengalaman kerja di belakang tabir berbanding melihat jodoh.

"Soal jodoh ini adalah ketentuan Tuhan dan saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Tapi, untuk mengulas soal peluang bekerja dengan Michael, saya selesa dengan sikap terbukanya.

"Dia (Michael) sedia memberi peluang kepada orang lain seperti saya bukan hanya berlakon saja tetapi berkongsi idea untuk 'screenplay' menerusi perbincangan pendapat bagi sesuatu babak.

"Jadi, satu kelebihan besar buat saya untuk sentiasa berbincang dengannya sebelum masuk ke set penggambaran kerana semestinya gabungan idea dua otak lebih baik daripada satu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy ditanya pendapat jika dia turut bertemu jodoh di set penggambaran drama terbitan Michael seperti pelakon Kamal Adli dan pasangannya, Uqasha Senrose.

Hun yang baru beberapa tahun aktif berlakon juga ditanya sejauh mana dia yakin dengan lakonannya sekarang dan tidak mungkin mendapat jolokan pelakon 'kayu', katanya dia ambil positif.

"Alhamdulillah jika lakonan bertambah baik, saya amat bersyukur. Sebagai pelakon, tiada apa yang dimahukan kecuali memberi lakonan terbaik. Insya-Allah, saya akan cuba yang terbaik di setiap karya dibintangi," katanya.

Hun kini sibuk dengan penggambaran drama 20 episod iaitu Sihir sebagai pelakon utama bersama Kamal Adli. Ia sudah ditayangkan di Astro Ria mulai Isnin lalu jam 11 malam.

Hun ditemui media pada majlis sidang media virtual sempena drama berkenaan, baru-baru ini.

Selain Hun dan Kamal, Sihir turut dibintangi Zarul Umbrella, Farah Ahmad, Zaryn Min, Wan Elyas, Fiza Thomas dan ramai lagi.

Sihir mengisahkan dua beradik terpisah yang membesar bersama di rumah anak yatim ada keistimewaan 'deria keenam' dapat mengesan dan merawat pelbagai jenis sihir atau ilmu hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:20 PM