DATUK hattan (gambar kanan) di atas kenderaan pacuan empat roda.
DATUK hattan (gambar kanan) di atas kenderaan pacuan empat roda.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI popular Datuk Hattan tidak mahu masuk campur atau terbabit dalam pertikaian membabitkan segelintir artis dengan netizen berkenaan bantuan kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Hattan, 55, atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin sebaliknya mahu fokus terhadap usahanya membantu menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan dapur terhadap golongan yang memerlukan.

 

“Saya tak berminat nak ulas isu ini kerana ada banyak lagi perkara yang nak difikir. Kita sekarang nak berlawan (membanteras) dengan wabak Covid-19, bukan bergaduh sesama sendiri," katanya kepada Harian Metro.

 

Semalam Datuk Hattan dengan kerjasama Pengerusi Konsortium Irama (Irama), Ayob Abd Majid mengagihkan sumbangan kepada masyarakat di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

 

“Sumbangan yang digerakkan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi ini membabitkan saya, Datuk Nash, Datuk Malek Ridzuan dan seorang lagi rakan, Datuk Sri Paul. Masing-masing bergerak ikut kawasan tertentu dan kami juga ada keluarkan wang sendiri serta dapat sumbangan daripada individu yang enggan namanya dikenali.

 

“Jumlah dana kutipan yang ada memang banyak dan Datuk Malek bertanggungjawab menguruskan barangan keperluan ini dengan pihak tertentu di gudang mereka," katanya. 

 

Menurutnya, kerja amal ini digerakkan sejak PKP dilaksanakan dengan sasaran membabitkan semua golongan termasuk penggiat seni.

 

“Baru-baru ini saya sendiri sumbangkan 20 kilogram ikan segar dari Kuala Selangor kepada rakan artis dan penggiat seni yang terkesan dengan apa yang berlaku. Anak buah saya juga turut sama menyumbang, manakala adik saya menyumbangkan tenaga mengagihkan barang.

 

“Bantuan disalurkan tanpa mengira bangsa dan agama. Yang pentingnya mereka gembira menerimanya. Pengagihan barangan akan dibuat sehinggalah stok habis," katanya. 

Sebaik selesai tugasan di Kuala Lumpur, Hattan bergerak pula ke kampungnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk bertemu ibunya serta menyalurkan bantuan di sana.

 

“Kenderaan pacuan empat roda saya padat dengan pelbagai barangan seperti beras, gula, tepung dan susu untuk diberikan kepada orang kampung yang memerlukan. Nama-nama orang kampung yang terkesan disenaraikan awal-awal untuk mengelakkan sebarang kejadian tak diingini. 

 

“Pelbagai perasaan dialami saya antaranya sedih dan gembira tengok mereka ceria dapat bantuan barangan dan sedikit wang. Inilah sumbangan ikhlas yang mampu saya berikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:39 PM