HATTAN bersama petugas  di IJN.
HATTAN bersama petugas di IJN.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Ketika sesi latihan untuk satu persembahan baru-baru ini, saya nampak dia memegang bahagian dada kiri sambil mengusapnya seakan ada yang tak kena. Hairan juga dia berkelakuan begitu," kata Datin Arianie Mohd Abidin, isteri penyanyi popular, Datuk Hattan mengenai suaminya yang dikatakan mengalami masalah jantung.

Hattan, 56, yang dibawa menjalani pemeriksaan beberapa hari kemudian di Institut Jantung Negara (IJN) didapati mengalami masalah injap jantung tersumbat tetapi tidak melebihi 50 peratus.

Semalam, Hattan turut melakukan hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih terhadap rakan-rakan dan peminat atas segala doa sepanjang dia menjalani rawatan.

Arianie berkata, sebelum itu Hattan sudah beberapa hari mengadu sakit dada dan pada mulanya disangka berpunca dari masalah otot.

"Selepas beberapa hari, keesokan paginya dia mengadu tak dapat tidur kerana dada sakit dan tangan kebas-kebas. Sudah tentu saya bimbang kerana kakaknya baru melakukan prosedur angiogram dua minggu lalu. Adik lelakinya pun ada masalah jantung, manakala arwah bapanya pun meninggal kerana masalah jantung juga.

"Ketika membuat pemeriksaan di IJN, doktor kata lain-lain semuanya okay selain masalah kolesterol. Hattan juga ditahan di wad untuk pemeriksaan kerana keluarganya ada sejarah masalah jantung," katanya.

Arianie berkata, keadaan Hattan kini stabil dan dia perlu mengambil ubat kolesterol selain perlu bersenam dan menjaga pemakanan.

"Selepas tiga hari menerima rawatan dia dibenarkan keluar. Saya lega kerana dia diberi rawatan awal. Jika tidak mungkin sesuatu lebih buruk boleh berlaku," katanya.

Arianie berkata, Hattan kini perlu berpantang dan tidak boleh mengambil makanan berminyak dan berkolestrol tinggi.

"Dia perlu makan tepat pada waktunya. Selepas tiga bulan kena jumpa doktor semula untuk pemeriksaan. Jika sekiranya keadaannya stabil tak payah makan ubat lagi. Syukurlah buat masa ini aktiviti seninya tiada.

"Hattan boleh main golf tapi dia kena berjalan kaki. Dia pun sudah berhenti merokok tapi doktor cakap jangan mendadak," katanya yang menyeru sesiapa yang mempunyai gejala ini supaya segera berjumpa doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 8:56 AM