NADIA bersyukur tawaran berlakon tidak pernah putus. FOTO Ezairi Shamsudin
NADIA bersyukur tawaran berlakon tidak pernah putus. FOTO Ezairi Shamsudin
Norhayati Nordin


PELAKON Nadia Brian dan imej seksi bagaikan berpisah tiada. Sejak belum berkahwin hingga kini berstatus isteri orang, ia masih belum mampu ditepisnya.

Imej seksi ternyata cukup sinonim dengan Nadia, 29, atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi Brian.

Enggan melatah, Nadia yang bertemu jodoh dengan lelaki pilihan, Muizz Nasruddin sekitar dua bulan lalu berkata, dia tahu menjaga nama baik suaminya.

“Saya pun tak tahu kenapa nama berterusan dikaitkan dengan imej seksi. Pada hal, saya tidak berpenampilan keterlaluan. Setakat ini, gaya penampilan saya biasa saja dan suami pun tidak ada masalah yang membuatkan dia kurang selesa.

“Saya pun tahu menjaga batas diri sebagai wanita sudah berkahwin. Saya ada suami dan keluarga termasuk nama baik mentua yang perlu dijaga,” katanya.

Menurut pelakon drama Akulah Balqis dan Sweetie Nanie di TV3 ini, dia tidak mahu membebankan diri dengan terlalu berfikir cakap-cakap orang.

“Terpulanglah nak kata atau fikir apa mengenai saya. Saya enggan ambil kisah dan selesa melihat

ke arah yang positif saja. Segala aura negatif, saya me

mang tolak jauh ke tepi dari awal kerana tak mahu rasa sedih dan hati tidak tenang,” katanya.

Mengulas soal cahaya mata, Nadia berkata, dia dan suami tidak membuat sebarang perancangan dan bergantung kepada rezeki daripada Allah SWT.

“Sebagai pasangan berkahwin, saya yakin anugerah memiliki anak diimpikan setiap suami isteri. Cuma, rezekinya (anak) Allah yang tentukan.

“Baru dua bulan saya dan suami bernikah, jadi rezeki anak tidak menjadi tekanan besar buat kami. Kalau rezeki cepat dapat anak, Alhamdulilah,” katanya.

Ditanya juga rezeki lain selepas berumah tangga, Nadia berkata, dia sangat bersyukur kerana tawaran berlakon diterima tidak putus.

Muncul dengan drama Titian Takdir di TV3, katanya, jadual agak padat untuk berlakon drama dan filem. Nadia berkata, dia juga baru selesai penggambaran filem Shif Malam Raya.

“Filem bergenre seram itu arahan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen yang membuat kemunculan semula menghasilkan karya baru di layar perak.

“Saya sukakan filem ini (Shif Malam Raya) kerana jalan ceritanya sangat menarik serta peluang bekerjasama dengan Razak,” katanya.

Nadia yang berpengalaman sebagai pelakon teater sebelum aktif membintangi drama sejak 2015 berkata, dia seorang yang tidak terlalu memilih dan sedia menerima tawaran watak yang sesuai.

BELUM mampu tepis imej seksi yang dilabel walau sudah bergelar isteri. FOTO Ezairi Shamsudin
BELUM mampu tepis imej seksi yang dilabel walau sudah bergelar isteri. FOTO Ezairi Shamsudin

Ratu Kalajengking di pawagam

Hujung bulan ini, filem Ratu Kalajengking lakonan Nadia sebagai watak utama akan mula ditayangkan.

Mengangkat cerita lama rakyat mengenai wanita bernama Siti yang didakwa ‘ratu kalajengking’ kerana perkahwinan singkat dengan 99 orang suami.

Setiap lelaki dikahwini Siti pasti umur tidak panjang dan meninggal dunia kerana gigitan kalajengking. Malah, Siti juga didakwa sebagai pengamal ilmu hitam.

Mengulas watak sebagai Siti itu, Nadia berkata, ia adalah watak agak berat dan mencabar baginya sebagai pelakon baru.

“Filem ini penggambarannya dilakukan dalam kawasan hutan simpan di Johor yang memerlukan diiringi pihak polis untuk masuk. Memandangkan ia cerita lama rakyat, saya tertarik untuk membintanginya kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

“Saya ingin tahu sejauh mana ceritanya kerana Siti itu digambarkan sebagai wanita kurang cantik yang kembali semula ke kampungnya untuk membalas dendam selepas berubah jelita,” katanya.

Menurut Nadia, dia juga mencabar keberanian dengan melakukan sendiri tiga babak berat dalam filem itu.

“Antaranya, saya sanggup letak kala jengking yang berbisa di atas muka sendiri. Selain itu, saya juga membiarkan badan dibelit ular sawa seberat 12 kilogram.

“Itu belum lagi, beraninya saya bermain dengan pacat yang tak terkira banyaknya. Terus terang, saya tidak sangka mampu seberani itu,” katanya.

Walaupun berdebar menunggu reaksi penonton untuk filem Ratu Kalajengking, Nadia berkata, dia puas kerana sudah membuat yang terbaik dalam karya arahan Bade Haji Azmi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:00 AM