KHAI BAHAR
KHAI BAHAR
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Khai Bahar, 27, reda dan beranggapan belum rezekinya beraksi solo selepas Ogy Ahmad Daud selaku penganjur mengumumkan pembatalan Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia, hari ini.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata keputusan itu dibuat mereka secara sepakat selepas perbincangan menyeluruh dibuat mengenai risiko penganjurannya.

"Kak Ogy ada berbincang dengan pengurusan dan peguam saya sebelum buat pengumuman. Ia selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya kos, kapasiti, dan risiko dalam menjayakan sesuatu persembahan yang berskala besar.

"Pihak penganjur merasakan jalan terbaik buat masa ini adalah membatalkan konsert di Istana Budaya (IB) itu. Saya dan pasukan terima dengan tenang dan beranggapan belum rezeki membuat persembahan solo di sana. Insyallah kita cuba lain kali, doakan saya ya," katanya.

Penyanyi lagu Luluh itu juga tidak menafikan dia sendiri sudah melakukan persiapan untuk konsert berkenaan. Hakikatnya, persiapan itu sudah dibuat lebih setahun lalu.

"Persiapan saya sudah dalam 50 peratus rasanya sejak sebelum pandemik pertama melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dulu," katanya lagi.

Terdahulu, Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Ahmad Daud mengumumkan membatalkan konsert itu selepas perbincangan dibuat bersama mereka yang lebih arif dalam penganjuran sesebuah konsert.

Dia juga memohon ribuan ampun dan maaf kepada pasukan Khai yang bersusah payah selama ini untuk mengendalikan bersama-sana bagi merealisasikan konsert itu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:38 PM