JENNIE
JENNIE
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Entah di mana silapnya penyanyi yang juga anggota BLACKPINK, Jennie kini berdepan dengan kebencian ramai anti peminat sekarang. Malah, kebencian itu ditujukan terang-terangan kepadanya.

Tidak terkecuali apabila BLACKPINK bertandang ke Indonesia baru-baru ini untuk menjayakan sebuah acara. Harapannya untuk berseronok di acara itu dicemari dengan insiden yang sangat memberi kesan kepada emosinya.

Ketika kejadian, Jennie dikatakan terpaksa menahan dirinya dengan pelbagai kata-kata nista yang dilemparkan di Internet. Apatah lagi acara itu disiarkan secara langsung dan penonton boleh berinteraksi dengan mereka.

Bagaimanapun, keadaan cuma menjadi tegang apabila ada peminat menyatakan rasa benci kepadanya. Tidak ketinggalan mengeluarkan kata-kata kesat sekali gus membuatkan Jennie terguris.

Menerusi video sedutan acara itu yang tersebar, peminat juga kecewa apabila penyanyi itu seakan disisihkan pengacara.

Dia tidak diajukan soalan sebaliknya pengacara cuma berinteraksi dengan anggota BLACKPINK yang lain.

Situasi itu ternyata memberi tamparan kepada Jennie yang pada satu ketika kelihatan hampir bergenang air mata.

Dia juga kelihatan serba-salah dan canggung untuk turut serta dalam perbualan dengan semua yang berada di pentas.

Disebabkan insiden itu, peminatnya melancarkan kempen #JennieDeserveBetter sebagai tanda sokongan mereka buat penyanyi kesayangan itu.

Ternyata mereka tidak dapat menerima layanan anti peminat yang jelas cuba menjatuhkan Jennie.

Bayangkan Jennie terpaksa membaca komen negatif yang bertalu-talu ditujukan kepadanya? Setiap peminat dapat menyelami perasaannya dan berharap penyanyi itu tetap kuat dan tenang menghadapi situasi terbabit.

Begitu juga anggota BLACKPINK lain yang jelas bersimpati dengan rakan mereka itu. Sebolehnya mereka cuba menenangkan Jennie sebaiknya sambil membabitkannya dalam setiap perbualan dengan pengacara terbabit.

Rata-rata peminat di Internet menyifatkan layanan sebegitu sangat tidak adil buat Jennie. Disebabkan itu mereka mahu pembelaan terhadap penyanyi terbabit perlu dibuat memandangkan dia tidak bersalah namun menjadi mangsa kebencian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:05 AM