BLACKPINK tampil penuh bertenaga menghiburkan penonton dengan 15 lagu. FOTO Georgie Joseph
BLACKPINK tampil penuh bertenaga menghiburkan penonton dengan 15 lagu. FOTO Georgie Joseph
Georgie Joseph


SEPERTI dijangkakan, kumpulan BLACKPINK dari Korea Selatan berjaya membuatkan lebih 8,000 penonton ‘histeria’ pada konsert sulung BLACKPINK In Your Area Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, hari ini.

Mempersembahkan lebih 15 lagu, kumpulan dianggotai Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose tampil penuh bertenaga, menghiburkan dan begitu selesa di pentas.

Menurut Rose, mereka sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa diterima sebaik sampai di Malaysia dan berterima kasih kepada peminat mereka BLINK yang hadir.

“Kamu sangat mengagumkan. Kami sangat terbaru dengan kehadiran kamu semua pada hari ini,” katanya.

Yang pasti, peminat mereka BLINK turut memberikan kerjasama terbaik sepanjang konsert dan tiada insiden tidak diingini berlaku selepas Jennie memberi peringatan supaya mereka berhati-hati.

Pada pertengahan konsert, keadaan menjadi ‘kecoh’ seketika apabila Jennie tidak muncul beberapa minit sewaktu lagu Kiss and Make Up.

Bagaimanapun, akhirnya dia muncul pada penghujung lagu.

Rata-rata penonton yang hadir jelas berpuas hati dengan persembahan BLACKPINK meskipun pertama kali ke sini dan ternyata penantian mereka berbaloi.

Antara lagu dipersembahkan termasuklah Ddu-Du Ddu-Du, Forever Young, Stay, Whistle, Boombayah, Playing With Fire, See U Later dan banyak lagi.

Terdahulu, penjualan tiket konsert itu mendapat sambutan luar biasa sehingga habis terjual.

Mulanya hanya sehari, namun penganjur memutuskan untuk menambah sehari lagi konsert itu atas permintaan peminat.

Konsert dua hari berkenaan dianjurkan Macpiepro dan dibawakan penaja Kia Motors dan Naza Kia Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:45 PM