PENONTON yang hadir.
PENONTON yang hadir.
Ridzuan Abdul Rahman

GEMPAK-GEMPITA jadinya suasana di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur apabila 30 kumpulan bergabung dan bermain muzik serentak dalam Konsert Kita Punya sempena tahun baharu 2020 pada 1 Januari lalu.

Nama besar seperti Datuk Awie & Dragon Malaya, Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Floor 88, Paladin dan House Band (Cakam) ditampilkan sebagai kumpulan arus utama konsert ini.

Selain mereka, turut terbabit menjayakan konsert anjuran RTM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini ialah 23 kumpulan indie yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kumpulan terbabit antaranya Joanna & Co, Uncure, Iqbal M., 7 Days, Humanoid Band, Oh Chentaku, Kapow dan Bonafides berjaya menghiburkan kira-kira 80,000 peminat yang begitu dahagakan persembahan yang julung kali diadakan itu.

PERSEMBAHAN Masdo.
PERSEMBAHAN Masdo.

Mungkin dahulunya kurang diberi perhatian, namun kini kumpulan indie seperti mereka mula bangkit menampilkan kehebatan tersendiri sekali gus mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Pentas bersaiz 50 meter dan direka dua tingkat dengan konsep street gig dan hipster berjaya menimbulkan unsur gah terhadap persembahan setiap artis.

Idea penerbit konsert ini, Sarena Mohd Salleh menggabungkan kombinasi kumpulan yang mempunyai dua aliran muzik berbeza dalam satu konsert wajar dipuji.

Paling mengujakan apabila usaha ini berjaya mencatat rekod baharu dan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

“Saya dah lama rancang menggabungkan banyak kumpulan untuk projek ini. Pada mulanya saya tetapkan hanya 20 kumpulan. Bagaimanapun, untuk masuk Malaysia Book of Records saya kena sediakan 30 kumpulan dan saya setuju mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

KETUA Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Datuk Ahmad (tengah) dan Ketua Pengarah Penyiaran, Nor Yahati Awang menerima sijil MBOR bagi pihak RTM.
KETUA Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Datuk Ahmad (tengah) dan Ketua Pengarah Penyiaran, Nor Yahati Awang menerima sijil MBOR bagi pihak RTM.

Sementara itu, penyanyi kumpulan Iqbal M., Iqbal berkata, mereka gembira apabila terpilih menjayakan konsert besar ini bersama barisan kumpulan lain.

“Kami sama-sama dapat meraikan sambutan tahun baru. Pada masa sama, Iqbal M. juga dapat peluang untuk memperkenalkan diri kepada peminat kerana konsert ini turut disiarkan secara langsung di tv.

“Peminat masih menonton TVdan inilah masanya untuk kami meluaskan pengaruh Iqbal M. Kami juga gembira apabila muzik indie tanah air diberikan peluang untuk berada sebaris dengan muzik pop yang selalu kita dapat tengok di kaca TV ataupun dengar di stesen radio.

“Diharapkan peluang sebegini terus diberikan supaya peminat tahu kewujudan kumpulan indie seperti kami. Stail dan gaya muzik kami berbeza dan bukan seperti yang mereka biasa dengar di stesen radio atau lihat di tv,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:15 AM