WANI nekad capai kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya nyanyian. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
WANI nekad capai kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya nyanyian. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


BIARPUN kini sibuk dengan pengajian dalam jurusan undang-undang di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Wani Kayrie, 20, masih aktif menyanyi.

Penyanyi remaja yang pernah popular dengan lagu Jangan Jangan ini berkata, sukar baginya untuk berhenti seketika.

Katanya, dia juga baru muncul dengan lagu Magika yang bergenre pop koplo.

Berbicara mengenai kerjaya seni, anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, dia mahu terus aktif menyanyi.

“Apatah lagi, pihak universiti juga tidak menghalang, tetapi saya perlu memastikan prestasi pelajaran tidak terganggu.

“Syukur alhamdulillah, setakat ini semua berjalan lancar sama ada kerjaya nyanyian atau pelajaran.

“Malah, apa yang membuatkan saya gembira kerana berjaya memperoleh anugerah dekan selepas meraih keputusan peperiksaan terbaik,” katanya.

KINI sibuk dengan pengajian jurusan undang-undang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
KINI sibuk dengan pengajian jurusan undang-undang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, kini azam tahun baharunya semoga dapat terus mengekalkan kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya.

Turut mendapat perhatian untuk kisah peribadinya, Wani atau nama sebenar Syazwani Abdullah berkata, dia masih muda untuk bercinta.

“Sebenarnya saya belum terfikir lagi. Cuma perkongsian ciri lelaki idaman itu sekadar luahan.

“Malah, apa yang diluah itu pun perkara biasa saja. Memang saya belum fikir nak bercinta.

“Perjalanan kehidupan saya masih jauh dan banyak lagi perkara yang mahu kejar untuk jaminan masa depan,” katanya.

Baru-baru ini, Wani ada membuat kenyataan penyanyi Afieq Shazwan, 22, memiliki kriteria lelaki idamannya.

Malah, Afieq juga menjadi pilihan Wani sebagai model dalam video muzik rasmi lagu Magika nyanyiannya.

Video muzik yang dimuat naik di YouTube sejak 31 Oktober lalu, hingga kini sudah mencatat lebih 200,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:00 AM