ISMA Sane
ISMA Sane
Oleh Ardini Sophia Sina


NAMA Isma Sane mungkin masih baharu dalam industri seni tanah air dan belum cukup terkenal, namun setiap kali memeriahkan acara di universiti, pasti ramai bersorak.

Dalam kalangan anak muda, lagu pertamanya berjudul Derita sudah tersemat di jiwa. Malahan, naskhah itulah yang membawa tuah kepadanya hingga bergelar penyanyi sejak setahun yang lalu.

Tampil dengan karya kedua berjudul Kembali, Isma yang senyap buat seketika kerana memberikan tumpuan pada kuliah meletakkan harapan lagu itu turut mendapat tempat di hati peminat muzik.

“Bukan mudah untuk ingatkan orang ramai mengenai kewujudan kita dalam industri apatah lagi apabila sudah senyap untuk seketika. Walaupun saya ada single kedua, mereka masih bercakap mengenai karya pertama.

“Bagaimanapun, saya sedar, mahu buat lagu kena bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Kena terima kegagalan dengan hati terbuka. Sudah pasti dalam karier ada turun naik.

“Lagu Kembali adalah kesinambungan daripada lagu pertama. Kalau dalam lagu pertama, isteri curang pada suaminya. Untuk lagu kedua ini, isteri mahu kembali bersama suami,” katanya.

Klip video muzik Derita kini mencecah lebih 21 juta jumlah tontonan di YouTube sejak dimuat naik September lalu. Kata Isma, dia sama sekali tidak menjangkakan lagu berkenaan disukai ramai.

Malahan, dia juga tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi, namun mungkin sudah tertulis rezekinya ada di bidang seni suara. Isma melihat tawaran daripada label BeGoodMusic adalah peluang meneroka bakatnya dengan lebih luas.

“Saya rakamkan Derita menerusi aplikasi Garage dan muat naik di YouTube. Tidak sangka ia menarik perhatian label dan menawarkan saya untuk bernaung di bawah syarikat itu.

“Lagu Derita saya muat naik pada April dan klip video muzik rasmi pada September. Saya tidak sangka jumlah tontonan lebih 20 juta. Mungkin paparan jalan cerita ini menarik,” katanya.

Untuk lagu Kembali, Isma masih mengekalkan konsep lagu ‘jiwang’. Katanya, dikenali dengan genre balada, dia ingin mengekalkan identiti itu walaupun arus muzik perdana ke arah muzik lebih rancak.

Isma sedar, ia mungkin sukar untuk terus mengukuhkan kerjayanya, namun dia tetap dengan pendirian dan tidak menolak mencuba genre lain seandainya keadaan memaksa.

“Saya tampil dengan lagu ‘jiwang’ dan ia tular. Oleh kerana saya pun meminati genre sebegitu maka nekad untuk terus dengan identiti ini. Terfikir cuba genre lain, tetapi bukan sekarang.

“Saya sedar, sejak beberapa bulan kebelakangan ini memang lagu dihasilkan semakin rancak ke arah pop, namun saya akan teruskan dengan lagu rentak perlahan.

“Cuma, kalau sukar mendapat perhatian, saya cuba hasilkan genre mengikut arus muzik semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:00 AM