Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"Pitt, mama minta maaf sebab mama tak dapat jaga Pitt sebagaimana mama janji dengan arwah baba dulu. Berakhir sudah kehidupan anak saya di usia 43 tahun," kata pelakon popular Fauziah Nawi, 66 selepas mayat anaknya yang juga pengarah filem Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 43 atau Pitt Hanif ditemui di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis, Pahang, kira-kira 4.25 petang tadi.

Penemuan itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pengarah filem Coast Guard itu dikhuatiri lemas ketika memancing di sungai terbabit, 11 pagi, semalam.

Fauziah menerusi siaran langsung di Facebook miliknya hari ini menzahirkan kesedihan atas pemergian anak kesayangannya.

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh semua. Saya Fauziah Nawi mengumumkan bahawa jenazah anak saya, Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau Pitt Hanif ditemui dalam keadaan sangat elok.

"Saya kini berada di rumah dan Alhamdulillah menurut adik saya, Mohd Fauzi Nawi yang berada di lokasi mayatnya sudah ditemui.

"Anggota bomba bertugas memberitahu dia tak pernah jumpa jenazah secantik itu biarpun sudah dua hari berada dalam air," katanya.

Fauziah dalam pada itu menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang mengirimkan doa dan ketika ini tidak dapat menjawab panggilan telefon. Katanya, jenazah sudah dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan selepas itu akan dibawa pulang ke rumah.

"Saya tidak tahu sama ada jenazah akan dibawa ke rumah saya di Taman Melawati (Kuala Lumpur) atau rumah mentuanya iaitu tempat tinggalnya bersama keluarga.

"Innalillahiwainnailaihirrajiun, berakhir sudah kehidupan anak saya. Allahuakbar, Pitt," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga memaklumkan jenazah kini berada di Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum dimandikan, dikafan dan disolatkan.

Menurutnya, jenazah kemudian akan dibawa pulang ke rumah Fauziah Nawi di Taman Melawati sebelum dikebumikan. Buat masa ini, pihak keluarga belum memutuskan di mana dan bila jenazah akan dikebumikan kerana perlu melalui prosedur di hospital terlebih dahulu.

Portal berita akhbar ini semalam melaporkan Pitt dan Pengarah Fotografi filem Coast Guard, Sham Mokhtar, 38 menaiki bot fiber untuk memancing di sungai itu sebaik menamatkan penggambaran filem pada jam 9 pagi.

Bot dinaiki bagaimanapun merempuh tiang sebuah jambatan sebelum ia terbalik dan terbelah dua.

Sham dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi tebing namun Pitt dibawa arus deras sebelum tenggelam.

Berita berkaitan

Fauziah Nawi sabar menanti...

Pitt cuba berenang untuk selamatkan diri

[UPDATE] Radius 3km cari Pitt Hanif

'Saya tahu awak kuat Pitt' - Farah

Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 5:42 PM