Sudirman Mohd Tahir

TERKEDU dan mengucap panjang tatkala melihat beberapa foto memaparkan model berbaju pengantin di tanah perkuburan Kristian tular di alam maya.

Selepas berbakul dikecam Angkatan Tentera Bawang Malaysia (ATBM) dan warganet, si pemilik butik tampil memohon maaf dan mengakui khilafnya.

Dia berjanji tidak mahu mengulangi lagi dan meminta semua perkongsian gambar itu dibuang supaya tidak terus dikecam serta dihina.

Itulah sikap segelintir rakyat Malaysia terutama peniaga yang memang sengaja untuk mempromosikan produk mereka. Kononnya tidak peka dan ingin mencipta kelainan hanya alasan semata-semata.

Sanggup dihina dan disumpah seranah asal sahaja produk dan perniagaan itu menjadi buah mulut pengguna. Ibaratnya, biarlah muka dilempar tahi yang penting matlamat ingin tular terlaksana.

Bau busuk pun dianggap wangi, buruk dikata cantik apatah lagi yang jijik, semua itu cukup istimewa dan penuh makna.

Konsep kebanyakan peniaga termasuk selebriti hari ini, malu itu sudah tiada makna. Apa yang utama adalah popular sekelip mata. Produk dan perniagaan laris dan cepat kaya raya.

Benar, semakin maju peradaban manusia, semakin tinggi ilmu di dada. Namun, ilmu yang dipamerkan indah khabar daripada rupa. Tahap kreativiti mereka di luar

akal fikiran.

Tidak perlu pandang orang di luar negara, dalam Malaysia sahaja sudah banyak terjadi depan mata. Hanya kerana mengejar nama dan ingin masyhur, sanggup memperbodohkan diri di media sosial.

Selalu orang cakap, sebelum buat kenapa tak fikir kesannya. Sebenarnya, kalau mereka guna otak, tidak

akan wujud segala perkara yang merendahkan darjat manusia.

Boleh sahaja mereka guna cara yang lebih profesional dan nampak mewah tetapi yang murahan juga jadi pilihan. Sebab apa, sebab minda orang kita juga mudah diperdaya dan dipengaruhi dengan segala macam rupa.

Jangankan orang biasa, selebriti juga sama. Taktik sama digunakan secara berleluasa. Tanggapan mereka terhadap peminat begitu rendah kerana sanggup menipu secara terbuka.

Sudah ditetapkan dalam minda, tak mengapa selepas buat salah minta maaf sambil keluarkan air mata. Pasti orang kita lembut hati dan terima dengan hati terbuka. Malah, beri mereka peluang kedua.

Namun, dalam diam siapa sangka produk dan perniagaan yang dicerca itu sebenarnya sudah laris dan terjual berjuta-juta. Sedang si selebriti dan peniaga tadi akan bertepuk tangan bersorak meraikan kejayaan mereka. Dalam hati, kami berjaya memperdaya akal pendek peminat dan pengguna.

Disebabkan itu, kesedaran dalam diri pengguna perlu ada. Kalau tahu ia permainan peniaga, jangan sokong dan beli barang mereka. Ini tidak, dalam ruangan komen bukan main marah-marah tetapi hakikatnya ramai juga yang beli.

Cuma, apa yang dibuat itu menampakkan lagi betapa rendahnya nilai harga diri mereka. Diberikan akal sempurna tetapi sebenarnya menyedihkan kerana otak tidak digunakan sebaiknya.

Anggap saja ketika itu otak mereka tertinggal di jalan raya hingga tidak dapat berfikir mana baik dan yang mana buruk.

Kalau ada lagi kes seumpamanya, mari kita sama-sama mencari otak mereka. Cakap pada mereka, sayang tidak diguna sebaiknya. Cantik tapi ‘bodoh’, tak guna juga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:30 AM