KUMPULAN Bunkface (dari kiri) Pa'an, Youk dan Sam.
KUMPULAN Bunkface (dari kiri) Pa'an, Youk dan Sam.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN muzik terkenal, Bunkface mengakui perasaan rindu beraksi di gig menjadi faktor utama mereka menerima tawaran bergabung dengan One Buck Short menerusi Konsert Punk Rock Picnic yang bakal berlangsung di The Bee, Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur pada 29 November nanti.

Band terdiri daripada Sam selaku vokalis, Pa’an (gitar utama) dan Youk (bass) berkata, sudah lama mereka meninggalkan pentas gig dan tidak salah sekiranya kembali beraksi.

“Kalau orang kata kami tak sesuai lagi beraksi di lokasi begini, mereka salah kerana secara peribadi kami bermula dengan acara sebegini.

“Bahkan, ada lokasinya lebih kecil daripada The Bee dan ia bukan masalah pun. Itulah tempat bermulanya Bunkface dan daripada situlah orang kenal kami.

“Konsert ini juga ibarat ‘throwback’ kerana kami amat merindui zaman Bunkface bermula dahulu,” kata Pa’an.

Kata Youk, acara sebegitu menyaksikan lokasi persembahan sentiasa dipenuhi dengan peminat yang hadir memberi sokongan padu terhadap Bunkface.

“Mereka akan beli cenderahati keluaran Bunkface. Cenderahati dan muzik berjalan seiring ketika itu dan kemeriahan sebegini sukar digambarkan. Inilah yang buat kami rindu dan mahu mengulanginya.

“Bersama One Buck Short, kami akan cuba kembalikan semula zaman keceriaan yang pernah ada ini.

“Kami akan memainkan lagu yang jarang dimainkan di konsert dan mahu mewujudkan semula ‘feel underground’ kepada peminat,” katanya.

Kumpulan yang popular menerusi lagu Darah Muda dan Situasi itu akan menyampaikan lagu yang berusia lebih 10 tahun buat peminat.

“Kami pernah satu pentas dengan One Buck Short sebelum ini dan mereka sangat hebat.

“Kedua-dua kumpulan kami dikenali dengan muzik punk rock dan inilah yang kami akan tampilkan. Ia pernah jadi fenomena suatu ketika dulu.

“Benda ini pernah jadi memori buat peminat kami dan pasti mereka mahu merasainya semula seperti 10 tahun lalu,” kata Sam pula.

Youk menjangka peminat mereka pasti akan bergabung menyaksikan konsert itu dan sudah menyiapkan senarai lagu yang sesuai untuk ditampilkan pada malam terbabit.

“Kami akan gabungkan lagu yang sesuai untuk semua generasi peminat kami. Apa yang diinginkan ialah aura suasana dulu bagi menghidupkan persembahan ini.

“Dengan apa yang kita ada sekarang, inilah masanya yang sesuai untuk beri semula kepada peminat dengan persembahan begini.

“Kami akan beri apa yang kami ada dalam persembahan nanti. Ia bukan satu perkara pelik kerana kumpulan legenda seperti Wings juga kembali beraksi di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.

Konsert anjuran syarikat telco terkenal iaitu Yoodo itu mengenakan tiket berharga RM38 untuk peserta terawal, RM58 untuk tiket ‘advanced sales’ dan RM78 pada hari konsert berlangsung.

Tiket Konsert Punk Rock Picnic boleh didapati secara online di laman www.galactix.asia.

Untuk maklumat lanjut, peminat boleh melayari www.yoodo.com.my atau The Bee - www.thebee.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:00 AM