ICSYVMY6 tampil dengan lebih aksi tak kering gusi.
ICSYVMY6 tampil dengan lebih aksi tak kering gusi.
Georgie Joseph


MEMASUKI musim keenam, program nyanyian I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) yang bakal ditayangkan 4 Jun depan, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 dihangatkan lagi dengan pelbagai pembaharuan.

Ia termasuk menampilkan artis serba boleh, Shiha Zikir sebagai hos baharu bergandingan dengan Izzue Islam yang sudah mengacarakan program itu sejak musim lalu.

Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 35, berkata, peluang itu cukup berharga dan diidamkan.

Walaupun ada rasa gementar, dia seronok keserasiannya dengan Izzue mudah terjalin.

"Episod pertama saja yang ambil masa sedikit untuk kami atur keserasian. Ini kerana, saya perlu sesuaikan rentak dan aturan yang mana Izzue sendiri sudah pun kuasai.

"Tapi, tak lama pun, selepas itu kami terus serasi bahkan suasana jadi semula jadi. Padahal awalnya berdebar juga kerana saya tahu ia adalah sebuah program yang cukup besar namanya.

"Bagaimanapun, saya memang tak nak lepaskan peluang keemasan itu. Saya gembira kerana elemen semula jadi antara kami semua termasuk panel penyiasat jadikan program itu tidak kekok langsung," katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutifnya, Jamil Hassan berkata, mereka menerima hampir 1,000 penyertaan termasuk ada dalam kalangan penyanyi profesional, sekali gus menjadi bukti program itu masih kekal kukuh.

"Memang sukar memilih 66 peserta terakhir untuk 11 episod yang mana setiap episod akan menampilkan enam peserta. Apa yang menarik, ada peserta yang gunakan pelbagai taktik supaya terpilih.

"Yang boleh menyanyi, tapi rosakkan nyanyian pun ada. Tapi, mujur kami ada penilai yang boleh mengenal pasti taktik sebegitu. Jadi, ia membantu untuk kami pilih yang benar-benar layak.

SHIHA terharu dipilih jadi hos baharu.
SHIHA terharu dipilih jadi hos baharu.

"Apa pun, ada penyanyi yang memiliki latar belakang muzik terbaik pun masuk juga. Masing-masing tak ingin terlepas peluang untuk merasai pengalaman sertai program ini," katanya pada sidang media pelancaran ICSYVMY6.

Berkongsi pemilihan hosnya iaitu Izzue dan Shiha, Ketua Unit Produksi, Penjenamaan, dan Hiburan, Russel Mark Rodrigues berkata, sinergi mereka cukup menghiburkan.

"Disebabkan kedua-duanya memiliki latar belakang sebagai penghibur serba boleh, gabungan mereka pemilihan tepat. Cara mereka hidupkan suasana begitu luar biasa, sekali gus program ini lebih meriah.

"Tidak ketinggalan panel penyiasat terdiri daripada artis yang warna wataknya berbeza. Keletah serta pelbagai ragam dipamerkan mereka adalah tarikan penting juga," katanya.

Musim lalu program bercorak muzik misteri itu menampilkan tiga ahli panel penyiasat, namun kali ini ada penambahan seorang lagi yang pastinya menjanjikan kemeriahan di studio.

Panel penyiasat tetap terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pelawak iaitu Jihan Muse, Khir Rahman, Baby Shima dan Ropie.

Antara penyiasat undangan yang akan menghangatkan lagi suasana adalah Maryam Younarae, Cik B, Joey Daud, Sweet Qismina, Bell Ngasri, Mek Yun, Fizi Ali, Roy Azman dan ramai lagi.

ICSYVMY6 mempunyai empat pusingan untuk artis jemputan mengenal pasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang pada tiga pusingan awal.

Jika peserta yang mara ke pusingan akhir adalah penyamar, maka dia berpeluang memenangi hadiah berupa wang tunai RM3,000 dan pemenang setiap episod akan membawa pulang bekalan produk Cadbury selama setahun.

Manakala, penyanyi sebenar berpeluang merakamkan single bersama penyanyi popular tanah air.

Sejak diperkenalkan, ICSYVMY mencipta fenomena tersendiri yang membuatkan sesi uji bakat untuk setiap musim sentiasa menerima sambutan luar biasa.

Sesi uji bakat musim baharu di Sri Pentas, Bandar Utama pada 17 Mac hingga 19 Mac lalu menerima lebih 700 penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 6:20 AM