AYDA dan Nabil sudah lama kenal tetapi mula rapat sejak beberapa bulan lalu. FOTO Nurul Shafina Jemenon
AYDA dan Nabil sudah lama kenal tetapi mula rapat sejak beberapa bulan lalu. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Norhayati Nordin


"BENAR, kami kini menjalinkan hubungan cinta," kata ringkas sekali gus pengakuan dibuat pengacara, Nabil Mahir, 31, mengenai hubungan rapatnya dengan penyanyi, Ayda Jebat, 27.

Nabil berkata, tidak ada apa yang perlu dirahsiakan lagi atau menjadi teka-teki berikutan Ayda pun sudah membuka mulut mengenai hubungan mereka.

Menurutnya, meskipun kini mereka dalam proses mengenal hati budi tetapi hubungan itu juga diketahui keluarga masing-masing.

"Bila cinta kami mula berputik, saya kurang pasti tarikhnya. Tetapi, sebagai individu yang sudah dewasa dan matang, kami sangat selesa apabila bersama.

"Dapat dirasakan, perasaan indah yang terbit dalam hati kami berdua semestinya lebih daripada sekadar kawan," katanya.

Nabil ditemui media ketika muncul di majlis pelancaran muzik video Ayda untuk lagu nyanyiannya berjudul Mana Ada Hati dan Better Than You di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas perkenalan mereka, Nabil berkata, di antara dia dan Ayda sudah lama kenal tetapi mula rapat sejak beberapa bulan lalu.

"Apa yang pasti, kedua-dua pihak keluarga sama ada saya mahupun Ayda, penerimaannya baik sahaja.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu terburu-buru untuk membawa hubungan cinta dijalin ini ke fasa seterusnya.

"Perancangan itu tetap ada dan tipulah kalau kami kata tak pernah bincang langsung mengenainya (ke arah perkahwinan)," katanya.

Nabil yang juga bekas pengacara HLive berkata, usia yang makin meningkat membuatkan dia sudah sedia menamatkan zaman bujang.

Apapun, Nabil berkata, dia dan Ayda memohon kepada peminat mereka untuk terus mendoakan yang baik.

Hubungan rapat mereka berdua mula menjadi perhatian ramai apabila didapati kerap berbalas komen di media sosial.

Sama ada Nabil atau Ayda, kedua-duanya pantas berbalas komen di Instagram (IG) masing-masing yang akhirnya timbul tanda tanya apakah wujud hubungan cinta di antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:34 PM