Redza mahu fokus terhadap kerjaya biarpun sudah lima tahun mengenali Ayda. FOTO HM
Redza mahu fokus terhadap kerjaya biarpun sudah lima tahun mengenali Ayda. FOTO HM
Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: Pelakon Redza Rosli menafikan dia sedang bercinta dengan penyanyi Ayda Jebat selepas dikatakan semakin rapat sejak berlakon bersama, baru-baru ini.

Redza, 24, berkata, dia yang mengenali Ayda, 24, sejak lima tahun lalu senang berkawan dengannya.

Katanya, sejak menceburi bidang lakonan, Ayda juga banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Mungkin spekulasi kononnya saya dan Ayda bercinta kerana kebelakangan ini kami kelihatan lebih rapat daripada biasa.

“Ini kerana kami berdua berlakon bersama dalam drama berjudul Ku Kirim Cinta yang akan ditayangkan di TV3 Ramadan ini,” katanya.

Redza berkata, dia memang jarang keluar bersama kawan-kawan jika tiada penggambaran. Jadi, apabila sesekali dia memuat naik gambar dengan rakan wanita terus timbul gosip.

Menurut Redza, ramai yang bertanya gosipnya dengan Ayda dan dia bersedia menjelaskan perkara sebenar.

“Khabar angin dan gosip sudah jadi lumrah dalam hidup artis, jadi saya tidak pernah ambil hati atau nak melenting. Apapun, buat masa sekarang saya memang suka berkawan dan bekerja dengan Ayda. Dia seorang yang periang, ramah dan senang berbincang.

“Saya belum bersedia untuk bercinta kerana mahu fokus kepada kerjaya dulu, begitu juga dengan Ayda. Bagaimanapun, apa saja bentuk hubungan yang akan berlaku selepas ini adalah rahsia alam dan saya tidak mampu meramalkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 3:09 PM