SITI Nordiana. FOTO: Surianie Mohd Hanif
SITI Nordiana. FOTO: Surianie Mohd Hanif
Sudirman Mohd Tahir


BEKAS Bintang Paling Popular Datuk Aaron Aziz dan Shaheizy Sam meramalkan penyanyi Siti Nordiana bakal dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 32) yang berlangsung malam ini.

Siti Nordiana mendapat enam pencalonan Top 5 iaitu Penyanyi Wanita Popular, Pengacara TV Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular dan Lagu Paling Boom.

Aaron yang dua kali memenangi kategori utama itu pada ABPBH 2011 dan ABPBH 2013 berkata, Siti Nordiana ada peluang cerah.

“Secara peribadi, saya mahu Nana menang. Malah, kalau tengok pencalonan pun, Nana boleh menang,” katanya.

Sementara itu, Sam yang tiga kali memenangi Bintang Paling Popular pada ABPBH 2010, ABPBH 2012 dan ABPBH 2014 berkata kelebihan berpihak kepada Siti Nordiana berdasarkan kerjaya penyanyi itu.

“Saya pilih Siti Nordiana sebab dia menyanyi dan dalam masa sama berlakon dan mengacara. Jadi, skop kerja dia lagi besar,” katanya.

Selain Siti Nordiana, dua nama lain yang disebut-sebut bakal merangkul gelaran itu ialah pelakon Mira Filzah dan penyanyi Khai Bahar.

ABPBH masih mengekalkan format asal iaitu undian 100 peratus daripada peminat.

Acara yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu menampilkan pengacara Datuk AC Mizal dan Elly Mazlein.

Ia juga akan dipancarkan secara langsung menerusi TV3 jam 9 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 4:07 PM