AFEE kini kawal nafsu makan untuk jaga kesihatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AFEE kini kawal nafsu makan untuk jaga kesihatan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ridzuan Abdul Rahman


TERKESAN dengan pembedahan akibat penyakit apendiks hujung Mac lalu, mendorong bekas penyanyi kumpulan rock Utopia, Afee kini berhati-hati menjaga pemakanan.

Afee atau nama sebenarnya Mohamad Safee Soefjan, 55, menjalani pembedahan membuang apendiks di Hospital Selayang pada 17 Mac lalu dan dibenarkan keluar pada keesokan harinya.

“Syukur saya dah tiga bulan pulih sepenuhnya. Dalam tempoh ini, saya tak boleh makan pedas, masakan berminyak dan yang bergoreng.

“Saya hanya amalkan pengambilan sup dan makan ikan haruan untuk keringkan luka. Berat badan saya juga turun sebanyak tiga kilogram.

“Sekarang saya kenalah kawal nafsu makan untuk jaga kesihatan. Memang terseksa juga jiwa apabila terpaksa lupakan makanan kegemaran seperti sambal belacan tapi saya kenalah tahan nafsu,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Afee mengakui tidak tahu langsung dirinya mempunyai penyakit itu sehinggalah diberitahu oleh doktor.

“Ketika itu saya hanya mengalami muntah-muntah dan berasa amat sakit di sebelah kanan perut.

“Apabila jumpa doktor, saya terkejut dimaklumkan bahawa apendiks dah pecah dan itu punca muntah.

“Ikutkan saya memang tak banyak makan siang dan malam serta lebihkan ambil buah sahaja kerana tak nak perut nampak boroi, tapi rupanya ada kesan lain pula,” katanya yang turut mengakui suka makanan pedas dan sambal.

Afee yang bergerak solo sejak 2008, baru menghasilkan single berjudul Buai pada tahun lalu.

Terbaru, dia sekarang bekerjasama dengan seorang penyanyi baru bernama Huqum untuk menghasilkan single secara duet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 7:17 PM