JANGAN abaikan sekiranya kesakitan pada perut bahagian kanan.
JANGAN abaikan sekiranya kesakitan pada perut bahagian kanan.
Siti Zarinah Sahib

SEWAKTU kecil penulis sering dimomokkan dengan kata-kata jangan makan cili atau biji jambu batu kerana boleh menyebabkan apendiks. Larangan ini sering bermain dalam fikiran penulis ketika zaman kanak-kanak sehingga wujud rasa takut setiap kali ingin mengambil makanan pedas.

Benarkah apa yang katakan ini ini atau ia hanya mitos semata-mata?

Menurut Penolong Profesor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) dan juga Pakar Perubatan Dalaman Dr Maisara Yusra, tiada kajian saintifik membuktikan apendiks disebabkan pemakanan apatah lagi dikaitkan dengan cili dan jambu batu.

“Mungkin ia hanya petua masyarakat terdahulu yang melarang pengambilan cili dan jambu batu kerana boleh menyebabkan sakit perut. Namun dari sudut perubatan ia tidak dapat dibuktikan. Malah sesiapa saja boleh mendapat apendiks tanpa mengaitkan dengan keturunan, gaya hidup atau pemakanan,” kata Dr Maisara yang ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, menurutnya ramai beranggapan apendiks adalah sejenis penyakit tetapi sebenarnya setiap orang mempunyai apendiks (vermiform appendix). Ia satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada permulaan usus besar.

Namun ketika ditanya lebih lanjut mengenai fungsi organ ini, sehingga kini pakar perubatan sendiri tidak mengetahui kegunaannya secara tepat.

DR MAISARA
DR MAISARA

“Walaupun apendiks seperti tiada fungsi dan boleh dibuang begitu saja, saya percaya setiap apa yang Allah jadikan itu mesti ada sebabnya cuma dari sudut pandangan sains ia tidak diketahui,” katanya.

Radang apendiks (atau istilah perubatannya apendisitis) berlaku disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat. Sekatan itu mungkin terjadi berpunca daripada lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada tiub besar termasuk ke apendiks.

“Apabila kita makan, makanan yang dikunyah akan dihadam dan dicerna organ penghadaman. Kemudian ia akan memasuki saluran pemakanan dari perut ke usus kecil dan akhirnya ke usus besar.

“Makanan ini akan bertukar menjadi bentuk serbuk dan usus besar menyerap air. Apabila menjadi bentuk ini, ia senang masuk dan sekali gus menyumbat satu ruangan kecil yang diberi nama apendiks,” jelasnya.

Katanya, penyumbatan apendiks ini menyebabkan perjalanan dan bekalan darah seseorang ke anggota badan yang lain terganggu. Keadaan ini memudahkan jangkitan kuman dan menyebabkan apendiks membengkak serta menimbulkan kesakitan.

Selain penyumbatan najis keras dan makanan, apendiks juga berpunca daripada jangkitan bakteria, batu yang terlepas dan terdapat di dalam badan serta ketumbuhan. Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun. Bayi juga tidak terkecuali daripada masalah ini.

 BAHAGIAN apendiks (dalam bulatan) yang perlu dibuang.
BAHAGIAN apendiks (dalam bulatan) yang perlu dibuang.

TANDA APENDIKS

Sering kali pesakit sukar mengesan mereka sebenarnya mengalami masalah apendiks. Ini disebabkan ada yang hanya sakit perut biasa dan berasa tidak selesa selepas makan serta berlanjutan sehingga berhari-hari.

Namun tanda yang paling jelas dan menunjukkan individu itu mungkin diserang masalah apendiks apabila merasai kesakitan pada bahagian sebelah kanan bawah pusat sehingga kadangkala menyebabkan demam, rasa memulas, loya dan muntah.

“Ada juga pesakit yang berasa kelainan di dalam perut. Namun, pesakit tidak pasti sakit di bahagian mana. Bagi kes sebegini, biasanya pesakit akan ditahan di wad untuk pemantauan selanjutnya,” katanya.

Sebaik saja pesakit mengadu mereka mengalami kesakitan teramat sangat pada bahagian pusat kemudian beralih ke bahagian kanan dalam masa 24 jam, kebiasaannya doktor akan memeriksa dan memastikan apakah ia disebabkan masalah apendiks atau penyakit lain.

 IMBASAN dilakukan untuk mengetahui gejala penyakit.
IMBASAN dilakukan untuk mengetahui gejala penyakit.

RAWATAN

Bukan semua pesakit yang mengalami masalah apendiks menunjukkan gejala. Ini kerana adalah sukar untuk mendiagnosis apendisitis kerana kesakitan di tengah perut memang biasa berlaku dan banyak persamaan dengan penyakit lain seperti gastrik.

“Bagi wanita, apendisitis lebih rumit dan kompleks disebabkan sifat jantina ini yang mempunyai banyak organ reproduksi berdekatan apendiks seperti ovari dan tiub fallopio. Malah kes masalah apendiks membabitkan wanita hamil juga sering berlaku.

“Gastrik pula ditandai dengan sakit perut di bahagian ulu hati yang menyebabkan rasa pedih, kembung, rasa ingin kentut dan akan lega selepas muntah,” katanya.

Untuk tujuan rawatan doktor akan memeriksa perut dengan menekan sedikit bahagian yang sakit. Jika ia disebabkan masalah apendiks pesakit akan serta-merta menjerit kesakitan.

Selain imbasan dan ujian darah, ujian sinar-X juga dilakukan bagi memastikan tiada penyakit lain yang menyerupai simptom apendisitis.

Sekiranya sakit disebabkan masalah apendiks di peringkat sederhana doktor hanya memberi antibiotik untuk melegakannya. Namun ia mungkin menyerang lagi dan sebab itu cara terbaik hanya melalui pembedahan apendektomi atau membuang apendiks.

“Jika dibiarkan apendiks bermasalah ini (tidak dikeluarkan atau dibuang), lama-kelamaan ia akan bertukar menjadi gangren atau pecah. Keadaan ini amat membahayakan nyawa pesakit,” katanya.

Menurut Dr Maisara, menerusi pembedahan apendektomi secara terbuka, apendiks yang panjangnya lima hingga 10 sentimeter (sm) akan dibuang daripada pangkal.

Luka torehan ini adalah di antara tiga hingga lima sentimeter, bergantung kepada tahap kegemukan pesakit.

“Apendisitis yang melekat terutama yang sudah pecah (kronik atau berlaku secara berulang) lebih sukar dibedah. Ini kerana apendiks terpaksa dipotong manakala rongga abdomen pesakit pula perlu dicuci,’’ ujarnya.

Bagi mengurangkan kesakitan dan memendekkan tempoh penyembuhan, doktor akan menggunakan teknik terkini yang dipanggil laparoskopi iaitu menerusi tiga tebukan atau torehan yang dibuat pada perut berukuran di antara lima sehingga 10 milimeter sahaja.

“Selain parut yang kecil, penyembuhan luka pembedahan menggunakan teknik laparoskopi juga adalah lebih cepat. Tempoh tinggal di hospital juga lebih singkat iaitu di antara satu ke dua hari berbanding pembedahan terbuka yang lebih kompleks iaitu lima tujuh hari bagi komplikasi apendisitis atau apendiks yang sudah pecah,” katanya.

Secara umum pesakit yang bakal menjalani rawatan harus bercuti selama kira-kira dua minggu hingga sebulan. Namun tempoh lebih pendek diperlukan untuk pembedahan menggunakan prosedur laparoskopi.

Pesakit kemudiannya akan diberikan antibiotik dan ubat penahan sakit dengan rawatan susulan satu atau dua kali saja. Dalam tempoh penyembuhan, pesakit disaran untuk makan makanan tinggi kandungan serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan supaya luka cepat sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 4:30 AM