ROY akan meluangkan masa berjumpa doktor pakar untuk melakukan pemeriksaan lanjut. FOTO Facebook Roy Azman
ROY akan meluangkan masa berjumpa doktor pakar untuk melakukan pemeriksaan lanjut. FOTO Facebook Roy Azman
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Roy Azman mengakui masih diburu kebimbangan berdepan risiko penyakit jantung selepas dikejarkan ke hospital pada 18 Mei lalu kerana pengsan.

Biarpun doktor mengesahkan dia hanya menghidap gastrik, Roy atau Zairosminan Abdul Rahman, 49, tetap mahu berjumpa doktor pakar sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mulanya doktor suspek saya ada masalah jantung dan kencing manis. Namun selepas buat ujian dan pemeriksaan, mereka berikan kata putus saya menghidap gastrik.

“Tapi doktor sendiri cakap, simptom pengsan ini boleh dikaitkan dengan gastrik dan jantung serta sukar diramal.

“Ada kawan saya sendiri, mulanya disyaki sakit gastrik. Tapi apabila berjumpa doktor pakar disahkan sakit jantung,” katanya kepada Harian Metro.

Roy yang popular dengan pelbagai drama antaranya Roda-Roda Kuala Lumpur dan Tuan Anas Mikael berkata, dia akan meluangkan masa berjumpa doktor pakar untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hari itu pun, doktor kata keadaan jantung saya berada pada paras pertengahan iaitu 50:50.

“Alhamdulillah buat masa ini saya rasa keadaan kesihatan bertambah baik dan tak perlu berjumpa doktor pakar buat masa ini.

“Saya lebih kepada menjaga pemakanan, banyakkan minum air masak dan kurangkan merokok. Kalau nak berhenti secara drastik mungkin agak payah,” katanya yang bercadang berjumpa doktor pakar selepas hari raya nanti.

Dalam pada itu, bagi memenuhi aktivitinya pada Ramadan ini, Roy yang menjadi duta kepada produk madu milik Shuib, akan turun padang menjayakan promosi yang diatur.

“Shuib buka booth di Bazaar Raya Kuala Lumpur 2019 di Dewan Tun Abdul Razak sempena hari raya dan sekali sekala saya hadir memeriahkannya.

“Syukur kerana sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan,” katanya.

Roy berkahwin dengan anggota kumpulan Princess, Fyda Razali pada 11 Mac 2006 dan mempunyai lima cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:48 PM