BARISAN anak seni khusyuk mendengar tazkirah.
BARISAN anak seni khusyuk mendengar tazkirah.
Amirul Haswendy Ashari


PENGANJURAN Himpunan Artis Sayang Al-Quran edisi keempat atau HASA 4.0 kali ini disifatkan menarik kerana semakin ramai wajah baharu anak seni tempat hadir memberi sokongan.

Bertemakan Ar Rahman Ku Seru Nama Mu, HASA 4.0 berlangsung lancar dengan kehadiran lebih 800 penggiat seni depan dan belakang tabir yang mengenakan busana putih bersih berkumpul di Istana Budaya, Sabtu lalu.

Presiden Usrah Fitrah, Adam Corrie berkata, ramai selebriti yang sebelum ini tidak berpeluang menyertai tiga edisi terdahulu hadir.

“Menariknya HASA kali ini kami dapat lihat wajah baharu yang sebelum ini terlepas untuk hadir ke acara sama sejak tiga tahun lalu.

“Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat juga kami berkumpul untuk mengikuti program HASA 4.0 pada tahun ini.

“Penganjuran program pada kali ini sebagai satu langkah inovatif memberi nafas baharu kempen sayangi al-Quran dalam kalangan penggiat seni untuk memartabatkan al-Quran melalui program ini,” kata Adam.

Adam turut berkongsi Usrah Fitrah menyediakan beberapa acara susulan selepas HASA 4.0 bagi membolehkan penggiat seni terbabit sama demi mencari kebaikan untuk diri dan masyarakat.

Antaranya acara Sahabat Usrah Fitrah, program pengajian dan hafazan al-Quran.

Hal sama dikongsikan pelakon Anita Baharom yang juga ahli jawatankuasa bahagian jemputan tetamu Usrah Fitrah Malaysia.

DARI kiri, Anita Baharom, Yatt Hamzah, Erra Fazira dan Maznah Zolkiefli.
DARI kiri, Anita Baharom, Yatt Hamzah, Erra Fazira dan Maznah Zolkiefli.

Anita berkata, untuk tahun keempat ini, dia dapat melihat ramai muka baharu yang hadir untuk mendekatkan diri dengan acara kesenian ini bagi lebih mengenali al-Quran.

“Saya nampak ada rakan artis seperti Sabrina Ali, Erra Fazira, Nora Danish, Rozita Cik Wan dan beberapa nama lagi.

“Saya berharap pada edisi akan datang lebih ramai artis tempatan mengimarahkan program ini,” katanya gembira.

Selain mereka, barisan artis lain yang hadir ialah Datuk Nash, Heliza Helmi, Mardiana Alwi, Yassin Senario, Fauziah Gous, Azri AF, Ameng Spring, Anas Tahir, Baggio, Hafiz Hamidun, Hamidah Wahab, Johan As’ari, Putra Amaris, Tomok, Wan Maimunah dan Zarul Umbrella.

HASA 4.0 adalah acara yang bertujuan memberi pendedahan kepada penggiat seni tempatan mengenai keindahan dan ilmu yang terkandung dalam al-Quran dengan harapan mereka semakin dekat dengan ajaran Islam.

Selain itu, pengisian acara juga termasuk pendidikan kerohanian dan ruang kepada golongan sasaran agar mengenali al-Quran dengan lebih dekat sekali gus menjadikan kitab suci umat Islam itu sebagai panduan hidup. Bahkan memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan untuk meneruskan karya mereka berpaksikan al-Quran.

Program ini menjadi platform untuk mengubah persepsi masyarakat berhubung peribadi artis sekali gus menjadikan golongan itu sebagai contoh bagi berkongsi kebaikan kepada masyarakat.

Ia turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

TOMOK turut hadir.
TOMOK turut hadir.

Antara aktiviti yang diadakan adalah Persembahan Khas HASA 4.0 daripada Raqib Majid Zayyan FM, Kumpulan Brothers, Mestica, The Helmis (Heliza Helmi dan Hazwani Helmi), Adeep Nahar dan Fakhrul UNIC.

Kemudian diikuti iftar perdana, makan malam dan jalinan ukhuwah melalui solat Maghrib, Isyak serta Tarawih berjemaah.

Edisi pertama HASA diadakan di Dewan Menara FELDA, Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 400 anak seni pada 2016.

Manakala edisi kedua berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun berikutnya, kemudian di Istana Budaya pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:30 AM