ZOEY
ZOEY
SITI Nordiana
SITI Nordiana
Ramlah Zainal


Selepas lima tahun beroperasi, pertubuhan dakwah yang membabitkan golongan selebriti dan penggiat seni tanah air iaitu Usrah Fitrah dibubarkan secara rasminya pada tanggal 8 Januari lalu.

Menurut bekas Naib Pengerusi Usrah Fitrah yang juga pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, selepas dilihat dari semua sudut, akhirnya semua pihak sepakat pertubuhan itu dibubarkan demi kebaikan bersama.

“Sudah menjadi adat sesebuah pertubuhan pasti ada masalah dan isu berbangkit.

“Apatah lagi Usrah Fitrah digerakkan ahli jawatankuasa dalam kalangan artis dan penggiat seni yang padat dengan agenda seni masing-masing.

“Dalam sesi perbincangan yang berlangsung pada 8 Januari itu, semua pihak sepakat membubarkan pertubuhan Usrah Fitrah menerusi hasil undian membabitkan 27 ahli yang hadir,” katanya.

Zoey berkata, pihaknya mengakui ada segelintir ahli yang tidak bersetuju dengan pembubaran berkenaan.

“Namun setiap ahli perlu akur dengan keputusan sebulat suara hasil undian yang dijalankan.

“Semua ahli sayangkan pertubuhan Usrah Fitrah dan mahu ia dikekalkan tetapi kami akur jika pembubaran adalah jalan terbaik untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Menurut penyanyi Siti Nordiana yang juga bekas ahli jawatankuasa (AJK) Usrah Fitrah, dia akur dengan pembubaran itu.

“Saya antara artis terawal menyertai Usrah Fitrah. Sebagai ahli, pastinya saya mahu ia terus beroperasi.

“Namun, jika pembubaran jalan terbaik mengikut pandangan semua ahli, saya mengikut saja.

“Walaupun Usrah Fitrah sudah dibubarkan, ia tidak bermakna usaha dakwah setiap ahli terhenti begitu saja.

“Lebih banyak usaha dakwah akan dilakukan setiap bekas ahli Usrah Fitrah untuk meneruskan perjuangan dakwah pada masa depan,” katanya.

Sesi perbincangan Usrah Fitrah yang berlangsung pada 8 Januari lalu dihadiri semua AJK lama dan baru serta semua tenaga pengajar iaitu Ustaz Fakaruddeen Che Omar, Ustaz Shahrizan Daud, Fazrul Ismail, Ustaz Zul Ramli, pengasas serta penaung Usrah Fitrah iaitu Ustaz Rusydi Ramli dan Shaharudin Dawam.

Manakala barisan artis dan penggiat seni yang hadir ialah Amin Idris (bekas pengerusi) Helmi Yusof (pengerusi) Salima Habibi (Naib setiausaha) Aida Rahim (bendahari), Heliza Helmi dan Suffian Saujana.

Sementara itu, mengimbas latar belakangnya, penubuhan Usrah Fitrah hanyalah kelas agama tertutup bagi artis dan penggiat seni membabitkan aktiviti kerohanian serta program amal.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan ahli Usrah Fitrah yang menubuhkan kelas usrah kendalian mereka sendiri seperti Yatt Hamzah dan Salima Habibi yang masih aktif sampai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 12:28 PM