SHARUDIN (baju-T) selaku penaung bersama barisan tenaga pengajar dan selebriti.
SHARUDIN (baju-T) selaku penaung bersama barisan tenaga pengajar dan selebriti.
BARISAN selebriti dan ahli yang hadir pada sambutan ulang tahun kelima penubuhan Usrah Fitrah.
BARISAN selebriti dan ahli yang hadir pada sambutan ulang tahun kelima penubuhan Usrah Fitrah.
Sudirman Mohd Tahir


Penubuhan kelab Usrah Fitrah (UF) pada 2011 berjaya menjadikan pertubuhan ini sebagai landasan buat artis yang sudah atau ingin berhijrah mendalami ajaran Islam secara tertutup dan selesa.

UF yang diasaskan Ustaz Rusydi Ramli Al Jauhari bersama penaung Sharudin Dawam kini berusia lima tahun. Pertubuhan ini didaftarkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan dikenali sebagai Persatuan Usrah Fitrah Malaysia.

Bagi penyanyi Siti Nordiana yang juga antara artis terawal menyertai persatuan ini berkata, dia sentiasa mengalu-alukan pembabitan lebih ramai rakan artis dan selebriti.

“Usrah Fitrah sentiasa terbuka menerima kedatangan rakan selebriti tidak kira sudah berhijrah atau masih tercari-cari ruang mendalami agama.

“Tenaga pengajar terdiri daripada ustaz yang pakar dalam bidang masing-masing disediakan. Mereka menyumbang keringat dan ilmu secara percuma tanpa menuntut bayaran demi membantu anak seni.

“Sejujurnya, sepanjang terbabit dalam kelas disediakan, banyak pengetahuan agama diperoleh. Bagi saya bukan senang dapat peluang sebegini. Semuanya atas usaha diri sendiri untuk memanfaatkannya,” katanya.

Sambung Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, selain tenaga pengajar tempat pembelajaran juga disediakan secara percuma.

“Sebenarnya, ramai rakan artis dan selebriti mahu belajar, tetapi ada di antara mereka segan menyertai kelas usrah terbuka atau masih mencari tempat yang sesuai.

“Alhamdulillah, sepanjang lima tahun ini jumlah ahli UF meningkat. Bagi saya, ia satu perkembangan positif. Saya percaya usaha dilakukan secara berterusan tidak akan pernah padam,” katanya.

Selain Nana, antara rakan artis terawal menjadi ahli UF adalah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Eenaz Mokhtar dan Diana Amir.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada Ustaz Zul Ramli (tarbiyah hati/akidah), Ustaz Rusydi Ramli (tafsir al-Quran), Ustaz Fakaruddeen Che Omar (akidah), Ustaz Shahrizan Daud Atturabi (ilmu fiqah), Fazrul Ismail (hadith 40) dan Amin Idris (motivasi).

Kembang ilmu pengetahuan

UF kini diterajui pengetua Ustaz Zul Ramli yang juga Murabbi program Dai’e di TV3 bersama pengerusi baru, Helmi Yusof yang juga bekas personaliti TV3 serta pelakon Adam Corrie selaku naib pengerusi.

Bagi Adam Corrie, UF bukan sahaja memberi ruang buat ahlinya menuntut ilmu agama, tetapi membolehkan mereka mengembangkan pengetahuan diperoleh dengan berkongsi dengan rakan artis lain.

“Saya memuji dan berterima kasih kepada Sharudin bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif pertama TV Al Hijrah, Allahyarham Bukhari Che Muda yang mencetuskan idea penubuhan UF.

“Tambahan pula, ketika ini semakin ramai artis dan selebriti mula menampakkan minat ke arah yang lebih baik dan berhijab. Meski pun pada mulanya ada menyatakan segan untuk menghadiri kelas usrah, akhirnya mereka terbuka hati dengan sendirinya,” katanya.

Selain Adam, antara rakan artis yang pernah menyertai kelas usrah adalah Nora Ariffin, Afdlin Shauki, Neelofa, Adira, Farah Asyikin, Affa Nico, Aida Khalida dan Norlia Ghani.

UF bukan sahaja menyediakan kelas usrah, tetapi menganjurkan pelbagai aktiviti kemanusiaan dan ilmiah.

Antara kejayaan terbesar UF adalah penganjuran program Artis Sayang Al-Quran atau HASA 1.0 dengan kerjasama JAKIM pada Ramadan lalu, Tarbiah Kembara Sufi ke Bumi Mesir dan Gaza serta pelancaran kutipan tabung amal kilat untuk mangsa Gaza dan Syria dengan kerjasama Aman Palestin.

Menariknya, program itu di sertai ramai penggiat seni tanah air termasuk artis senior.

Kelas usrah membabitkan selebriti dan penggiat seni diadakan setiap malam. Info lanjut boleh menghubungi rakan artis seperti Heliza Helmi, Diana Amir, Salima Habibi atau Siti Nordiana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:05 AM