Adam (belakang, tiga dari kanan) bersama barisan artis danJuhari (empat dari kanan). FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Adam (belakang, tiga dari kanan) bersama barisan artis danJuhari (empat dari kanan). FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Amirul Haswendy Ashari


HIMPUNAN Artis Sayang Al Quran 2018 atau HASA 3.0 yang bakal diadakan di Istana Budaya (IB) pada 4 Jun depan mensasarkan penyertaan lebih 800 penggiat seni tempatan.

Presiden Usrah Fitrah (UF), Adam Corrie, berkata sasaran itu diletak kerana melihat pada pencapaian dua siri HASA pada tahun 2016 dan 2017 lalu.

"Pada HASA 1.0 tahun 2016, seramai 400 penggiat seni yang hadir dan HASA 2.0 tahun lalu pula seramai 600 orang.

"Syukur sebab dari tahun ke tahun penyertaan anak seni semakin bertambah kerana mereka mulai faham dengan objektif program ini diadakan yakni untuk memupuk kecintaan kepada Al-Quran," katanya.

Adam berkata pada majlis sidang media Pelancaran Program HASA 3.0 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir, Ketua Pengarah IB, Datuk Muhamed Juhari Shaarani, Penasihat UF, Ustaz Zul Ramli M Razali, Pengarah Persembahan HASA 3.0, Farihin Abdul Fattah dan selebriti lain.

Katanya, penyertaan kali ini disifatkan lebih terbuka kerana turut mendapat sokongan daripada mereka yang bukan dari latar belakang seni seperti doktor, jurutera dan peguam.

HASA 3.0 mendapat tajaan lokasi daripada IB yang turut menyediakan khidmat tenaga kerja sepanjang program berlangsung bermula jam 5 petang.

Antara selebriti mengesahkan kehadiran ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Profesor Dr Muhaya, Nora Danish, Ella, Anzalna, Heliza Helmi, Yatt Hamzah, kumpulan Brothers, Inteam dan ramai lagi.

Selain diisi acara musabaqah Al-Quran oleh qari dan qariah tempatan, beberapa penyanyi tempatan turut membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 6:08 PM