HAFIDZ terpaksa turunkan berat badan elak boroi. FOTO: Hafiz Suhaimi
HAFIDZ terpaksa turunkan berat badan elak boroi. FOTO: Hafiz Suhaimi
Amirul Haswendy Ashari


PENAMPILAN terbaru pelakon Hafidz Roshdi yang agak kurus berbanding dulu menarik perhatian peminat dan media yang mengikuti perkembangan semasanya sebelum ini.

Sehinggakan ada yang beranggapan pelakon yang mula dikenali melalui drama Baby Ana Milik Siapa pada 2014 mengalami masalah kesihatan.

“Tidaklah, saya sihat saja cuma sebelum ini perut saya agak ke depan dan apabila badan sudah rasa berat, saya nak kenalah kurus.

“Ketika itu berat badan saya 75 kilogram dan selepas lebih sebulan menjalani rejim diet ketat serta senaman, saya berjaya turunkan kepada 63 kilogram.

“Tambahan pula di set penggambaran ada dua orang yang tolong jagakan diet, jadi proses itu jadi mudah,” katanya.

Pelakon berusia 24 tahun ini mengakui berat badannya mudah naik turun dan alang-alang dalam proses diet, dia mahu mendapatkan bentuk tubuh yang menarik.

Katanya, sebelum berkahwin dua tahun lalu, badannya kurus tetapi selepas berkeluarga banyak yang sudah berubah.

Katanya lagi, apabila melihat diri sendiri di skrin, terserlah pipinya yang ‘tembam’ sehinggakan dia nekad untuk kembali kurus seperti dulu.

“Masa mula-mula berlakon dulu, berat badan saya 62 kilogram dan Alhamdulillah apabila berjaya dapat semula bentuk badan yang lalu, tawaran lakonan masih ada.

“Saya buat ini pun bukan sebab kehendak karakter, apatah lagi kerana ada projek filem besar seperti pelakon lain,” katanya berseloroh.

Bercakap mengenai kehidupan berumah tangga yang dibina sejak 30 April 2016, suami kepada Nurul Shuhada Mat Shukri berkata, mereka teringin memiliki lebih ramai anak.

Apatah lagi anak pertama mereka, Humairah kini sudah mencecah usia 1 tahun 6 bulan.

“Kami tidak mahu merancang, kalau ada rezeki anak kedua dan seterusnya, Insya-Allah kami bukan mahu ‘relaks’ dulu atau merancang anak. Ikutkan setiap minggu kami ‘berusaha’,” katanya seraya ketawa.

Katanya lagi, seperkara yang dipelajari sejak bergelar bapa ialah perasaan rindu terhadap anak apabila berjauhan.

“Dulu kita dengar saja orang cerita tapi tidak merasainya tetapi sekarang saya dapat merasai sendiri perasaan rindu itu.

“Apabila bergelar bapa, lepak dengan rakan-rakan pun tetap akan teringatkan anak di rumah, jadi dengan rakan-rakan pun saya sudah jarang ‘lepak’,” katanya.

Ini bermakna kehidupan sosialnya juga semakin terhad kerana mahu melebihkan masa bersama keluarga sebaik sahaja habis waktu kerja.

Tambah pula, isterinya juga bekerja, sekali gus anak mereka perlu berada di bawah penjagaan seseorang.

Katanya, buat masa ini, anak mereka di bawah jagaan ibu mentuanya apabila mereka keluar mencari rezeki.

“Saya tidak percaya kepada orang lain untuk jaga anak, lebih-lebih lagi selepas mendengar pelbagai kisah tragis anak didera dan dicederakan pengasuh hingga ada yang meninggal dunia, saya jadi takut.

“Lagi pun, ada kru produksi yang turut berdepan keadaan anak ada lebam selepas dihantar ke rumah pengasuh, saya jadi risau,” katanya.

Sebagai pelakon, dia sering pulang lewat dari set penggambaran dan sangat lega kerana ibu mentua sudi menemani anak dan isterinya.

Dia juga meluahkan rasa bersyukur kerana kebanyakan tawaran berlakon tidak memerlukan dia berada di luar kawasan.

Berkongsi pengalaman tahun lalu, Hafidz berkata, anaknya pernah ‘tidak kenal’ bapa sendiri kerana sering bekerja di luar Kuala Lumpur.

“Ketika saya menjalani penggambaran di utara hampir sebulan tahun lalu, balik ke rumah anak menangis sebab tak kenal saya. Ketika itu saya rasa sedih dan berdoa agar tidak perlu kerap bekerja di luar daerah.

“Alhamdulillah, banyak tawaran yang menyusul tidak memerlukan saya jauh daripada keluarga. Bagi saya masa bersama mereka sangat berharga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 4:30 AM