Shaheizy Sam.
Shaheizy Sam.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Perubahan mendadak fizikal pelakon Shaheizy Sam, 40, menarik perhatian ramai sehingga dia tampil berkongsi alasan dia menguruskan kembali badannya sekarang.

Sam berkata, dia sudah penat berbadan gempal dan kini kembali mendisiplinkan diri untuk melakukan diet atas kepuasan sendiri.

"Saya tak sasar nak besarkan otot sebab tak ada pun terbabit dengan penggambaran filem-filem seperti Polis Evo. Saya buat sebab nak kurus. Saya sudah penat jadi 'bulat'," katanya menerusi video di Instagram Live.

Pelakon itu turut menyarankan sesiapa yang ingin kurus supaya kuatkan disiplin melakukan diet sebagaimana dia melakukan petua mengambil satu hidangan sehari (OMAD).

Sam berkata, OMAD termasuk dalam cara diet 'intermittent fasting' atau IF Ia tak seharusnya mengelirukan mereka yang cuba mengamalkannya.

"Saya bersemangat nak kongsi petua kurus kerana ramai yang anggap diet ini seolah satu beban. Tapi, kalau anda layan saja, sebenarnya okey.

"Apa yang saya buat satu hidangan untuk sehari ini sebenarnya IF. Saya cuma nak ringkaskan saja (cara diet) supaya ramai senang faham," katanya.

Kebelakangan ini, ramai memuji dan kagum dengan disiplin Sam menguruskan badannya dengan cepat. Dia juga kerap berkongsi perkembangan terbaru fizikal serta menjawab pertanyaan pengikutnya.

Sebelum ini, berat badannya pernah naik sehingga 80 kilogram.

Bagaimanapun, dia tidak bimbang kerana memiliki cara tersendiri untuk turunkan berat badan dalam tempoh singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 7:44 AM