CHOI Siwon.
CHOI Siwon.
Ardini Sophia Sina

Apabila disebut nama Choi Siwon, peminat Kpop pasti tahu jejaka ini bekas anggota kumpulan Super Junior yang kini semakin menyerlah dalam bidang lakonan.

Tidak hanya berwajah tampan dan memiliki senyuman manis dihiasi lesung pipit, Siwon juga antara selebriti yang gemar berkongsi rezeki dengan yang memerlukan.

Menjadi Duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sejak 2015, Siwon baru-baru ini mengajak peminatnya sama-sama menyalurkan sumbangan bagi membantu kanak-kanak dari segi perubatan dan barangan mainan.

Siwon yang sudah melawat beberapa negara bawah program UNICEF kelihatan santai dan tidak kekok melayan kanak-kanak serta menghiburkan mereka walaupun dibatasi perbezaan bahasa.

Baru-baru ini, UNICEF Korea Selatan memberikan penghargaan kepada Siwon atas usahanya membantu kanak-kanak yang memerlukan serta komited melunaskan misi UNICEF.

“Saya sangat berterima kasih atas penghargaan yang diberi. Saya ada impian untuk mengubah dunia menjadi lebih baik dan ingin lihat semua kanak-kanak mendapat hak mereka yang sepatutnya.

“Bagaimanapun, saya tahu tidak mudah mengubah dunia dalam masa singkat. Namun demikian, saya yakin santunan kecil ini sedikit sebanyak membawa dunia ke arah kehidupan yang lebih indah.

“Saya percaya, usaha kecil ini adalah langkah pertama menuju permulaan itu. Terima kasih atas sokongan peminat dan kepercayaan yang UNICEF berikan kepada saya,” katanya.

Berlakon dalam siri My Fellow Citizens! yang kini ditayangkan, naskhah itu menyebabkan umum sekali lagi menggesa mana-mana produser untuk tidak memberikan peluang kepada Siwon untuk muncul di televisyen.

Pada 2017, anjing peliharaan keluarga Siwon menyerang jiran mereka hingga mengakibatkan kematian. Walaupun pelakon itu dan bapanya membuat permohonan maaf secara terbuka selepas kejadian itu, sehingga hari ini masih ada yang belum memaafkan kecuaian mereka.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa memaafkan Siwon dan keluarganya serta menolak untuk mengambil tindakan undang-undang. Namun, insiden berkenaan memberi kesan buruk terhadap kerjayanya.

Pada majlis sidang media promosi drama berkenaan, Siwon sekali lagi memohon maaf atas kejadian itu dan berharap rantaian berkenaan mendapat maklum balas positif.

“Saya sedar perlu lebih berhati-hati dan peka apabila ia membabitkan kejadian lalu. Saya tidak mahu membuka luka lama dan saya dengan rendah diri memohon maaf kerana menyebabkan insiden berkenaan.

“Saya juga berharap drama lakonan saya mendapat maklum balas baik daripada penonton. Saya yakin drama ini memberi kesan beraneka emosi kepada penonton,” katanya.

Menurut Siwon, dia selalunya mengambil masa panjang ketika membaca skrip, sebaliknya dengan

My Fellow Citizens!, pelakon itu membaca dengan laju kerana ingin mengetahui jalan cerita watak utama berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:01 AM