LISA Surihani bermain dengan kanak-kanak ketika melawat pelarian Rohingya di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh. Ihsan UNICEF
LISA Surihani bermain dengan kanak-kanak ketika melawat pelarian Rohingya di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh. Ihsan UNICEF
Ramlah Zainal


“SAYA terkejut dan tiada kata dapat digambarkan bila melihat keadaan kem yang penuh sesak dan tidak selesa di mana separuh daripada sejuta pelarian di situ adalah golongan kanak-kanak.

“Malah, saya menangis bila mengenangkan nasib pelarian di sana terutama golongan kanak-kanak sebaik saja kembali ke tanah air,” kata pelakon terkenal dan duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Lisa Surihani ketika berkongsi lawatannya ke Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, baru-baru ini.

Menurut Lisa, dia juga julung kali berpeluang menjejakkan kaki ke kem pelarian Rohingya yang terbesar di dunia itu untuk menjayakan misi kemanusiaan di sana.

“Antara pengalaman sukar dilupakan bila melawat sebuah kem menempatkan kanak-kanak yang tidak cukup zat dan nutrisi untuk tumbesaran mereka.

“Bila melihat keadaan kanak-kanak di kem itu, saya juga terfikir betapa kanak-kanak di negara kita jauh lebih bernasib baik hingga melakukan pembaziran makanan pula,” katanya.

Lisa ditemui pada sidang media selaku duta UNICEF Malaysia untuk berkongsi lawatan ke kem pelarian Rohingya di pejabat UNICEF di Bukit Damansara, Kuala Lumpur petang tadi.

Justeru, katanya, dia merayu semua pihak supaya tampil ke depan untuk bersama membantu mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan di kem pelarian terbabit.

“Saya bersama pihak UNICEF meninjau sendiri keadaan di kem pelarian ini untuk melihat sejauh mana krisis kemanusiaan di sana.

“Sasaran dana sebanyak RM1 juta ini untuk memastikan kerja kemanusiaan dapat dijalankan secara berterusan di kem terbabit.

“Fokus utama dana ini juga untuk membantu pelarian di sana terutama menjelang Ramadan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 8:15 PM