Peminat terutamanya Akma (kanan) teruja bertemu Siwon di stesen MRT Semantan. FOTO Twitter/UNICEF Malaysia
Peminat terutamanya Akma (kanan) teruja bertemu Siwon di stesen MRT Semantan. FOTO Twitter/UNICEF Malaysia
Amirul Haswendy Ashari


KEMUNCULAN selebriti popular Korea Selatan, Choi Siwon tidak sampai sejam di pintu masuk stesen MRT Semantan, Kuala Lumpur sudah cukup untuk mengejutkan ramai pihak.

Beberapa peminat terserempak dengan anggota kumpulan Super Junior itu, semalam sempat bergambar dengannya dan memuat naik swafoto mereka di laman sosial.

Peminat tempatan menggunakan akaun Twitter @AkmaKasah turut memuat naik swafoto bersama Siwon di laman sosial yang mendapat lebih 6,000 perkongsian.

Kehadiran selebriti itu di negara ini adalah sempena kempen kesedaran UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu) yang berlangsung sejak awal Ogos.

Siwon selaku duta Goodwill UNICEF juga dalam rangka promosi kempen itu ke beberapa negara di Asean dan sudah menjelajah ke Brunei dan Thailand sejak tiga hari lalu.

Berucap pada majlis pelancaran Forum Kanak-Kanak Asean ke-5 (ACF) di Bandar Seri Begawan, kelmarin, dia mendedahkan terdapat lebih 220 juta penduduk Asean adalah mereka berumur 20 tahun.

"Ia membentuk lebih 35 peratus populasi Asean bermakna mereka sepatutnya mewakili masyarakat dan politik untuk anak muda.

"Tapi adakah anak muda mendapat perhatian penuh serta sokongan untuk persekitaran selamat, bersih dan sihat? Jawapan saya, tidak," katanya tegas.

Dia percaya melalui kempen berterusan ke beberapa negara Asean dapat membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan memperkasakan hak kanak-kanak pada masa depan.

Selepas Malaysia, Siwon meneruskan lawatan kempennya ke Jakarta, Indonesia, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 5:40 PM