Sudirman Mohd Tahir


“RAMAI suka kalau kami bersama. Begitu juga sebaliknya. Tapi, lebih baik kita ambil yang orang suka,” kata penyanyi Khai Bahar, 25, mengenai usikan peminat yang mahukan dirinya dan penyanyi Wany Hasrita, 27, menjadi pasangan kekasih.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, apa yang penting dia mahu dan berharap peminat terus mendoakan terbaik untuknya.

Malah, Khai tidak menolak jodoh dengan penyanyi Menahan Rindu itu meskipun jarak usia dua tahun.

“Peminat selalu cakap, gelagat atau aksi spontan kami nampak ‘sesuatu’. Kalau cakap tidak, mereka akan kata ya. Begitulah sebaliknya. Jadi, serba tak kena. Disebabkan itu, kami buat saja apa yang kami suka.

“Kalau suatu hari nanti berkahwin, itulah yang dinamakan jodoh. Kalau tak, bukan jodoh. Jadi, doakan saja yang baik,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Khai berkata dalam soal cinta dan kahwin ia bukan perkara yang boleh dibawa main.

Sementara itu, Wany mengakui sentiasa bersikap profesional setiap kali bekerjasama dengan Khai.

“Diakui, bukan saja ramai suka, malah bergaduh pun ada sebab tak nak kami digandingkan bersama. Tapi kami bersikap profesional.

“Kalau mahu ambil yang orang suka, mungkin banyak tidak suka. Tapi, apabila Khai cakap ambil yang orang suka, saya ikut saja.

“Cuma, dalam perkara ini, apa boleh dikatakan kita kena fikir dan jaga hati banyak pihak terutama keluarga. Macam Khai pun ramai adik-beradik,” katanya.

Dalam masa sama, Khai dan Wany juga sentiasa mencari peluang untuk berduet dalam lagu.

“Insya-Allah satu hari nanti. Doakan dapat lagu yang sesuai dan bagus untuk kami berdua. Insya-Allah saya cuba buat juga nanti,” kata Khai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:00 PM
KHAI tidak menolak jodoh dengan Wany meskipun jarak usia dua tahun. FOTO Aswadi Alias
KHAI tidak menolak jodoh dengan Wany meskipun jarak usia dua tahun. FOTO Aswadi Alias