Wany anggap Khai rakan sekerja. FOTO Instagram
Wany anggap Khai rakan sekerja. FOTO Instagram
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Wany Hasrita akui selesa berkawan dengan penyanyi, Khai Bahar namun hubungan mereka tidak lebih daripada rakan sekerja.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, berkata dia dan Khai kerap diundang menjayakan persembahan bersama membuatkan hubungan mereka jadi baik.

“Saya akui menyenangi sikap Khai. Dia seorang yang baik dan mudah dibawa bercerita. Lagi satu, Khai seorang yang ‘clumsy’ tetapi comel.

“Kalau sekali pandang, Khai nampak pemalu, tetapi kalau sudah lama kenal dia banyak cakap. Paling penting, dia seorang yang menghormati orang lain.

“Malah dia selalu berseloroh dengan memuji saya comel. Bagi saya ia satu pujian. Namun, antara kami tidak ada apa-apa yang istimewa sebaliknya hanya rakan sekerja,” katanya kepada Harian Metro.

Wany yang juga finalis Anugerah Juara Lagu-32 berkata, dia tidak ambil hati dengan cakap-cakap peminat yang inginkan mereka menjadi pasangan kekasih.

“Kalau kami ada persembahan bersama, memang banyak IG Stories yang dimuat naik. Malah, kalau muat naik gambar di IG pun banyak yang komen.

“Bagi saya, ia hanya usikan peminat. Mungkin mereka suka melihat kami bersama setiap kali buat persembahan. Saya okey saja dan tidak ada masalah. Jauh sekali nak marah atau ambil hati,” katanya.

Ditanya mengenai soal jodoh, menurut Wany terlalu awal untuknya berfikir ke arah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 12:31 PM