WAN Hanafi Su tidak menolak adegan ranjang jika bukan bertujuan pornografi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
WAN Hanafi Su tidak menolak adegan ranjang jika bukan bertujuan pornografi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ardini Sophia Sina


PADA usia 69 tahun, pelakon veteran, Wan Hanafi Su masih terbuka melakonkan apa jua watak termasuklah adegan ranjang asalkan tidak keterlaluan.

Kata pelakon filem Lelaki Harapan Dunia itu, dia tidak menolak asalkan babak berkenaan seiring dengan paparan cerita serta bukan berunsurkan pornografi.

“Kalau nawaitu pengarah bukan bertujuan pornografi atau ‘sex arousement’, saya terima. Sama macam dalam filem Laga. Selagi babak itu berkait rapat dengan jalan cerita, ia bukanlah satu isu yang besar.

“Ketika berlakon dalam filem Laga, ada rakan isteri saya yang tanya, tidakkah dia cemburu menonton babak itu. Isteri saya beritahu mereka ketika penggambaran, dia ada di sana,” katanya.

Ditanya sasaran usia untuk bersara daripada dunia seni, katanya, dia hanya akan berhenti apabila penonton sudah jemu melihatnya berlakon dalam mana-mana drama mahupun filem.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sehingga ke hari ini masih ada tawaran yang diberikan meskipun tidaklah terlalu kerap seperti suatu ketika dulu.

“Adakalanya, saya sampai sebulan kosong kerana ketiadaan tawaran bagaimanapun saya faham situasi industri. Tidak banyak naskhah yang digarap yang memerlukan watak pelakon berusia seperti saya.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, setakat ini masih ada lagi yang panggil saya untuk berlakon.

“Saya bersyukur masih diberikan kesihatan untuk bekerja dan memberikan komitmen sepanjang penggambaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:07 PM