Sudirman Mohd Tahir


CERIA dalam gundah. Mungkin ini yang dirasai pelakon, Aman Nassim, 30, selepas sah bergelar suami kepada Nor Baizura Abdul Ghani, 33, dalam majlis pernikahan di Hulu Langat jam 10.35 pagi hari ini.

Ini kerana dalam masa sama, bapanya Nasim Haron tenat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sejak Selasa lalu akibat kanser usus tahap empat.

Aman dan isterinya yang juga pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abdul Ghani Ilyas dengan disaksikan jurunikah Masjid Batu 10 Cheras, Abd Jalal Osman.

Aman atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nasim menyerahkan mas kahwin RM300 beserta enam dulang hantaran dan dibalas lapan dulang daripada pihak perempuan, manakala wang hantaran RM10,000.

Aman ketika ditemui selepas majlis nikah tidak dapat menahan air mata kerana memikirkan keadaan bapanya itu.

“Saya bersyukur segalanya berjalan lancar walaupun apa dirancang tak semua menjadi. Majlis hari ini sederhana dan buat yang wajib saja dulu.

“Memandangkan bapa masih di hospital. Saya sebenarnya berharap bapa turut hadir. Sejujurnya, sewaktu nikah tadi hati saya dalam gundah. Saya kuat sebab keluarga ada di sini.


“Sebenarnya saya mahu bapa ada pada hari ini. Kami segerakan majlis ini pun sebab dia. Tetapi, Allah lebih tahu segalanya. Saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aman, majlis resepsi yang dijadual berlangsung malam ini ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

“Selepas ini, saya dan isteri akan bergegas pulang ke Johor Bahru. Buat masa sekarang, saya memang tidak boleh fikir benda lain.

“Kalau kami teruskan majlis malam ini pun tidak ada makna sebab dalam keadaan bersedih. Segalanya serba tidak kena nanti. Sebaiknya kami tunda dulu. Lagipun, lokasi majlis malam ini bapa yang pilih. Lagi saya bertambah sedih,” katanya.

Majlis yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Batu 10, Kampung Melaka, Cheras itu dihadiri sanak saudara dan rakan terdekat kedua mempelai.

Turut diadakan majlis tahlil ringkas buat bapa Aman yang dipimpin jurunikah.

Terdahulu pasangan ini mengikat tali pertunangan pada sambutan Aidilfitri lalu dan merancang untuk bernikah hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:12 PM
AMAN selepas sah bergelar suami kepada Nor Baizura. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AMAN selepas sah bergelar suami kepada Nor Baizura. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman