FASHA Sandha dan Aidil Aziz di Majlis Malam Berinai di The Love, MaTic, Jalan Ampang semalam. FOTO Salhani Ibrahim
FASHA Sandha dan Aidil Aziz di Majlis Malam Berinai di The Love, MaTic, Jalan Ampang semalam. FOTO Salhani Ibrahim
Najiy Jefri


PELAKON Fasha Sandha mengaku dirinya berdepan beberapa dugaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan dengan aktor Aidil Aziz pada hujung bulan ini.

Enggan mendedahkan dugaan itu, Fasha bagaimanapun menjelaskan menerusi perkahwinan kedua ini dia berasa lebih seronok dan dihargai.

“Kali ini saya merasai erti perkahwinan sebenar. Barangkali dengan restu keluarga kedua-dua belah pihak saya dapat rasa kelainan ini dan lebih disayangi.

“Lagipun sebelum ini saya tidak sempat rasa nikmat itu kerana tiada majlis perkahwinan yang tersusun, pertunangan atau malam berinai.

“Saya dapat rasa inilah keluarga sebenar dan benda yang patut ada dalam setiap wanita. Apa yang penting kena ada restu kedua-dua belah pihak,” katanya ketika ditemui bersama bakal suaminya Aidil pada majlis malam berinai di The Love @ Matic, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, dia menegaskan dirinya enggan menyebut atau membandingkan dengan perkahwinan terdahulu sebaliknya sekadar berkongsi perasaannya sekarang.

“Saya tak nak sebut mengenai perkahwinan lama cuma nak kongsikan apa yang terjadi sekarang.

“Saya tak nak orang menyalah tafsir kenyataan saya. Saya tidak membandingkan tetapi rasa dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, Fasha dan Aidil masih enggan membuka mulut mengenai tarikh rasmi perkahwinan mereka.

“Insya-Allah kami bakal disatukan pada penghujung bulan ini, namun mengambil keputusan untuk menghebahkan perkahwinan selepas diijabkabulkan.

“Kami berbuat demikian kerana majlis akad nikah diadakan secara tertutup dan sederhana. Jumlah hantaran dan mas kahwin biarlah rahsia dulu cuma kami akan melangsungkan pernikahan di Perlis,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 18 November tahun lalu.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal, 5, dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 2:42 PM